Malaysia Dateline

Pemilihan Shafie sebagai PM cuba pecahkan kebuntuan

Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin berpendapat Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya adalah percubaan bagi memecahkan kebuntuan.

Bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri itu berkata, pemilihan tersebut ekoran penolakan kedua-dua opsyen sebelum ini.

“Ini adalah berikutan penolakan opsyen satu PH Plus menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM dan opsyen dua, iaitu gandingan Dr Mahathir-Anwar.

“Dalam menolak opsyen satu, AMANAH dan DAP berkata, Anwar gagal mendapatkan sokongan yang cukup daripada ahli Dewan Rakyat bagi mencabar kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mazlan Ali turut berpendapat strategi Dr Mahathir menamakan Shafie sebagai calon PM sebagai satu eksperimen yang agak berbaloi dan berupaya menyekat kemaraan Muafakat Nasional Umno-Pas.

Petang semalam, Dr Mahathir mengumumkan keputusan pencalonan Shafie sebagai Perdana Menteri susulan mesyuarat tidak rasmi pimpinan PH, Warisan serta Bersatu.

Dalam kenyataannya, Dr Mahathir berkata, keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara.
Beliau menyokong pencalonan Shafie berbanding dirinya sendiri seperti sebelum ini yang dilihat mencetus polemik baharu dalam PH.

Menurut Dr Mahathir, pencalonan Shafie memandangkan beliau adalah pemimpin asal yang menentang kerajaan kleptokrasi, sejak PRU-14 sehingga menyaksikan Ahli Parlimen Semporna itu menjadi mangsa penyingkiran daripada Kabinet oleh Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berpendapat Shafie berupaya merapatkan lagi hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat tidak rasmi itu turut bersetuju untuk mencalonkan, masing-masing Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan Timbalan Perdana Menteri II.