Pemilik Ali Maju dinobat penerima AnugerahTokoh Maulidur Rasul Peringkat WP

Pemilik Ali Maju dinobat penerima AnugerahTokoh Maulidur Rasul Peringkat WP
Datuk Jawahar Ali Taib Khan (empat dari kiri) , Datuk Mohamedd Noor Bin Shamsuddin (empat dari kanan) dan Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Al - Qudsy ( tiga dari kanan) yang menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (enam dari kanan) di sini hari ini.-Foto Syafiq Iskandar.

Berbekalkan modal RM600 ketika mula berhijrah ke ibu kota, pemilik rangkaian Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan hari ini dinobatkan penerima Anugerah Tokoh Utama Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1440 Hijrah.

Pengiktirafan tersebut melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM8,000 serta pakej umrah bernilai RM7,000 termasuk piala dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di Kompleks Pusat Islam di sini, lapor bhonline.

Turut menerima Anugerah Khas Individu iaitu Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading yang juga pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Rosyam Nor.

Datuk Rosyam Noor (kanan) menerima Anugerah Khas Individu daripada Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad dalam majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat WIlayah Persekutuan hari ini. -Foto Syafiq Iskandar.

Menurut Jawahar Ali, pemilihannya selaku penerima utama bagi sambutan tahun ini membakar semangat buat dirinya untuk terus bergerak maju ke depan dalam bidang perniagaan selain terus bergiat aktif dalam aktiviti amal serta kebajikan.

“Penghijrahan bersama isteri serta dua orang anak pada tahun 1994 telah membuka pintu rezeki yang luas buat kami sekeluarga. Justeru niat untuk menyumbang semula kepada masyarakat akan sentiasa dipergiatkan,” katanya kepada pemberita.

Yang turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd. Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdul Aziz Jusoh.