Pemilik premis akui rugi, rupanya GISBH tak pernah bayar sewa selama 10 tahun, kena halau bila datang

Oleh MAISARAH AISYA

Isu mengenai syarikat GISBH Holdings (GISBH) semakin banyak terbongkar meskipun bermula daripada satu perkara kecil.

Kini seorang pemilik premis perniagaan tampil memaklumkan mengenai tempat yang disewa GISBH namun mereka tidak pernah bayar sewa bulanan kepadanya.

Lelaki enggan dikenali berusia 50-an berkata, dia menanggung kerugian ratusan ribu ringgit lapor Harian Metro.

Menurutnya, dua premis miliknya yang terletak di tingkat satu bangunan empat tingkat berkenaan disewakan kepada syarikat itu untuk dijadikan restoran.

“Mereka tak pernah bayar sewa walaupun diminta sejak lebih 10 tahun lalu “Saya beli premis ini ketika awal pembinaan lagi sebelum mereka bertapak di sini.

“Mereka kemudian minta untuk sewa premis saya dengan kadar bulanan kira-kira RM1,000 bagi setiap unit.

“Bagaimanapun, hanya peringkat awal saja mereka bayar dan selepas itu mereka tidak pernah bayar.

“Saya ada datang tuntut sewa tapi ‘dihalau’ oleh beberapa orang menyebabkan saya sudah takut nak datang lagi,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Disebabkan premis tersebut masih berkunci, pemilik memaklumkan dia perlu membuat laporan polis. untuk mendapatkan kembali kedainya.

Jelasnya lagi dia juga tidak dapat menghubungi penyewa yang mungkin menghilangkan diri atau dalam tahanan polis.

Sementara itu, seorang lelaki dipercayai ahli GISBH mendakwa pihaknya tidak membayar sewa premis dengan nilai wang sebaliknya secara pertukaran barangan.

“Kita memang tak bayar (wang) sebab kita bayar dengan ‘kontra’ barang,” katanya.

Baca juga: Betul ke gaji bawa lori ‘masyuk’ sampai RM10k sebulan? Ini jawapan paling logik abang lori