Malaysia Dateline

Pemilik pusat hiburan di Sibu langgar SOP ditahan

Tiga wanita termasuk pemilik pusat hiburan antara tujuh individu yang ditahan polis di Sarawak selepas didapati beroperasi melanggar prosedur operasi standard (SOP), semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ketiga-tiga wanita itu merupakan warga tempatan dan antara tujuh yang ditahan dalam operasi yang dilaksanakan di Bandar Sibu.

“Pihak polis telah menahan tujuh orang iaitu empat lelaki dan tiga wanita warga tempatan pemilik pusat hiburan kerana melanggar SOP,” kata JPBN dalam satu kenyataan.

JPBN turut memaklumkan sebanyak 20 notis kompaun dikeluarkan iaitu 11 di Sibu, Padawan (4), Bau (2), Kota Samarahan (1), Betong (1) dan Miri (1).

“Manakala sebanyak 91 notis amaran lisan dan bertulis telah dikeluarkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak di bawah seliaan pelbagai pihak berkuasa tempatan.

“Malah,sebanyak 1,468 premis dipantau dengan 590 anggota pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terlibat dalam operasi yang dijalankan pada 1 September hingga 31 Disember ini” tegas JPBN.

Selain itu, JPBN juga memberitahu tujuh sekatan jalan raya di enam buah daerah telah dilaksanakan iaitu di Lawas (2), Lundu (1), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1) dilakukan dalam Op Benteng.

Kata JPBN lagi, melalui tujuh sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 1,833 jumlah kenderaan telah diperiksa setakat ini.