Pemilik restoran makanan Jepun hampir mengalami kerugian berjumlah RM30,000 kerana nyaris terpedaya dengan tawaran pemberian ‘tender’ atau kontrak kerajaan palsu berhubung pembekalan makanan.
Difahamkan, kejadian bermula apabila pemilik restoran Samurai Yakiniku itu dihubungi oleh seorang individu yang menyamar sebagai wakil kerajaan memaklumkan syarikatnya memenangi tender bernilai RM150,000.
Kontrak kerajaan yang kononnya diberi secara perolehan terus itu memerlukan restoran berkenaan membekalkan makanan kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Isunya kami tiada e-perolehan atau sijil dari Kementerian Kewangan. Apa kami lakukan adalah buat pendaftaran. Namun proses ini agak memakan masa. Jadinya, kami maklumkan hal itu kepada ‘wakil kerajaan’ berkenaan.
“Individu terbabit berkata perkara itu tidak menjadi masalah kerana tender berkenaan telah dianugerahkan secara terus kepada kami. Jadi kami gembira menerima khabar tersebut.
“Namun pada pagi Jumaat yang lalu, kami dihubungi semula memaklumkan seramai 30 orang ‘wakil kerajaan’ akan datang makan malam di cawangan restoran Kota Bharu pada hari itu” katanya.
Pemilik restoran berkenaan akhirnya mula merasa sangsi apabila individu itu memintanya memindahkan wang sebanyak RM30,000 untuk membeli cenderahati kepada 30 orang ‘wakil kerajaan’ yang konon akan diganti semula.
Berjaya mencuri perhatian ramai, pendedahan tersebut dibuat oleh pemilik restoran makanan Jepun berkenaan menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, baru-baru ini.
“Jadi dekat sini saya sudah merasa sangsi. Mengapa kami kena belikan dahulu cenderahati itu sedangkan ia tiada dalam perjanjian. Jadi saya siasat semula dan tengok kepala surat tawaran kontrak tersebut.
“Rupa-rupanya, saya baru tahu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sudah sekitar tiga tahun tukar nama dan logo kepada Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia.
“Kemudian saya periksa laman web kementerian untuk mencari maklumat dan mendapati nombor tender itu sememangnya tidak wujud. Malah pemeriksaan dalam e-perolehan juga menunjukkan hasil sama,” jelasnya.
Pemeriksaan dibuat telah menyakinkan pemilik restoran bahawa pemberian kontrak tersebut adalah satu taktik ‘scammer’ atau penipuan sebelum berhenti berurusan dengan individu berkenaan.
Berharap tiada lagi usahawan yang lain menjadi mangsa, pengusaha restoran berkenaan tampil mendedahkan taktik ‘scammer’ terbabit sebagai kesedaran dan langkah berjaga-jaga.
Baca juga: Sementara tunggu gaji suami, wanita kongsi kisah sedih, terpaksa bagi 3 anak makan nasi kosong