Alangkah terkejutnya seorang wanita yang merupakan pemilik salun rambut apabila menerima notis tuntutan bernilai RM1.2 juta selepas menyewakan tingkat kedua premis kepada individu lain.
Wanita itu juga berhadapan dengan risiko muflis kerana tidak mampu melangsaikan bil yang diterimanya akibat tindakan penyewa menggunakan premis tersebut untuk melakukan aktiviti perlombongan kripto secara haram.
Memetik laporan China Press, pemilik salun berkenaan memaklumkan bahawa kejadian bermula apabila tingkat atas di premis dua tingkat tersebut disewa individu yang diperkenalkan oleh seorang ejen hartanah.
Ruangan tersebut mula disewakan pada Julai tahun lalu namun wanita yang mengusahakan salun rambutnya di tingkat bawah itu mula merasa ada sesuatu tidak kena apabila individu terbabit membawa naik beg berisi kabel.
Wanita terbabit kemudian mengambil keputusan untuk membuat satu laporan polis namun sayangnya penyewa itu bertindak melarikan diri keesokan harinya dipercayai khuatir kegiatannya bakal terbongkar.
“Pada 30 Ogos lalu, tiba-tiba saya mendapati penyewa itu membawa naik beg berisi kabel tebal ke tingkat atas. Saya rasakan ada sesuatu yang tidak kena dan melaporkannya kepada pihak polis.
“Kemudian, penyewa itu berpindah keluar pada keesokan harinya. Apabila saya masuk ke unit tingkat atas itu untuk memeriksa, ruangan tersebut didapati sudah kosong dan terdapat lubang di dinding yang sudah rosak teruk,” katanya memetik laporan China Press.
Pengusaha salun terbabit kemudian melaporkan kejadian kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun dua bulan kemudian, wanita itu malah menerima notis tuntutan bernilai lebih RM1.2 juta dari agensi tersebut.
Wanita itu mengakui hanya mempunyai satu pilihan jika tuntutan tersebut tidak boleh dibayar secara ansuran iaitu memfailkan permohonan muflis kerana keluarganya juga memiliki kekangan kewangan.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh pemilik salun dikenali sebagai Yen Pit Yun itu dalam satu sesi sidang media yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.
Dalam pada itu, TNB menerusi satu kenyataan berkata bahawa pihaknya kini sedang mencari jalan penyelesaian bersama dengan pemilik premis terjejas berhubung notis tuntutan tersebut.
Pihak TNB juga memberikan peringatan kepada pemilik premis untuk menukar penama akaun (pengguna berdaftar) kepada nama penyewa melalui proses ‘Change of Tenancy’ (COT) agar penyewa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bil elektrik.
Baca juga: 10 ‘doktor Bangladesh’ buka klinik haram di ibu negara, berselindung di sebalik kedai runcit