Pemimpin akan berlepas diri dengan pengikut mereka di akhirat

Oleh NASUHA RAHMAN

Di dalam sesetengah masyarakat, ramai manusia berasa bahagia merendahkan daya pemikiran dan nilai diri mereka untuk menjadi pengikut kepada orang yang mereka suka. Ada yang suka mengikut sebab mereka mendapat habuan seperti harta dan kedudukan dan ada yang taasub kepada pemimpin berkenaan di atas apa yang “diperjuangkan” oleh pemimpin-pemimpin demikian.

Di dalam perkongsian sebelum ini saya ada bincang berkenaan perlunya kita menilai sesuatu dan memilih yang terbaik seperti yang diperintahkan di dalam ayat 18 surah Az Zumar. Ini bermakna kita kena menggunakan akal yang Allah kurniakan di samping berdoa untuk mendapat hidayah dari Allah SWT di dalam menilai dan membuat pilihan itu. Janganlah pula kita terima data dan fakta yang sesuai dengan kesukaan kita dan buat-buat tak nampak apa yang berlawanan dengan kesukaan kita. Ini dipanggil “confirmation bias”.

Di dalam menuruti dan menyokong manusia yang diangkat sebagai pemimpin, kita kena ingat bahawa mereka tidak boleh melindungi kita di Akhirat sekirannya mereka sebenarnya pemimpin yang batil dan membawa kita untuk bermasalah dengan Allah selepas kita mati. Malah, mereka akan berlepas diri dengan kita dan kita akan menanggung akibat di atas segala perkara yang kita lakukan di muka bumi ini termasuk perkara-perkara akibat pengaruh pemimpin berkenaan.

Ada banyak ayat di dalam Al Quran yang menceritakan perkara ini. Di dalam ayat 166-167 surah Al Baqarah, diceritakan berkenaan pemimpin berlepas diri dari pengikutnya dan pengikut pula menyatakan bahawa sekiranya mereka boleh kembali ke dunia mereka juga akan berlepas diri dengan pemimpin berkenaan.

Di dalam ayat 47-48 surah Ghafir pula Allah menceritakan bagaimana pengikut meminta pemimpin mereka untuk menghindari mereka dari api neraka. Pemimpin mereka menjawab kesemua mereka masuk neraka kerana itulah apa yang Allah telah tetapkan.

Boleh rujuk kepada orang agama yang jujur bagi memahami dengan lebih lanjut berkenaan akibat mengikut seseorang tanpa berfikir dan taasub. Saya sebut di sini sekadar berkongsi kefahaman saya berkenaan perlunya kita menilai dan memilih siapa yang hendak kita ikut di dalam apa perkara sahaja termasuk agama.

Orang yang nampak mulia atau pun dimuliakan di dunia ini belum tentu membawa kita ke jalan yang diredhai Allah SWT. Perhatikanlah aliran pemikiran mereka, cara hidup mereka dan apa yang mereka buat, bukan semata-mata mendengar ucapan dan melihat kepada jawatan atau kedudukan mereka sahaja.

Ramai orang yang ada kedudukan tinggi merapu setiap hari tetapi tetap dipuja dan dipuji. Bukan orang Yahudi sahaja boleh membawa kita masuk lubang biawak, orang yang sama warna kulit dengan kita pun boleh melakukan perkara yang sama.

Semoga Allah memberi kita taufiq dan hidayah di dalam memilih orang yang hendak kita ikuti di dalam pelbagai aspek kehidupan semoga kita selamat di dunia dan akhirat.