Pemimpin AMANAH cadang wujudkan Institut Kepimpinan Ustaz Fadzil Noor

Pemimpin AMANAH cadang wujudkan Institut Kepimpinan Ustaz Fadzil Noor

Sempena 17 tahun pemergian bekas Presiden Pas, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd. Noor, pemimpin AMANAH menyarankan agar pemikiran dan kepimpinan tokoh itu dikaji melalui penubuhan Institut Kepimpinan Ustaz Fadzil Mohd. Noor.

Naib Pengerusi AMANAH Perak, Dr Muhaimin Sulam berkata, kewujudan institut itu penting sebagai pusat penyelidikan yang setanding dengan universiti dalam mengemukakan idea kenegaraan dan dasar kerajaan.

“AMANAH kena buat (tubuhkan Institut Kepimpinan Ustaz Fadzil Mohd. Noor). Kerajaan kena buat.

“Ini (Ustaz Fadzil Noor) putera hebat Kedah. Bagaimana putera hebat ini pun kita tidak boleh tonjolkan, kita jadi ahli politik yang retorik. Cakap berdegar-degar tetapi tidak ada hasil,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam program Malam Kenangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah pada 22 Jun lalu.

Dr Muhaimin berkata, AMANAH dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus mempunyai kekuatan untuk mewujudkan institut tersebut bagi meneruskan legasi kepimpinan Ketua Pembangkang di Parlimen pada 1999 itu.

Dalam masa sama, penulis buku travelog, ‘Aku Melayu di Kota Inggeris’ itu turut menyarankan penerbitan filem biografi mengenai kisah perjuangan Ustaz Fadzil Noor seperti banyak dilakukan negara luar.

Antaranya, filem ‘Sang Murabi’ (2008), ‘Sukarno’ (2013), ‘Sang Pencerah’(2017), ‘Buya Hamka’ (2019) di Indonesia manakala di Barat dan India seperti filem ‘Gandhi’, ‘Che’, ‘Shahid – Baghat Singh’ dan sebagainya.

Selanjutnya, Dr Muhaimin menggesa perlunya penerbitan buku mengenai Ustaz Fadzil Noor dilakukan selepas kali terakhir buku sedemikian terbit setahun selepas pemergiannya iaitu ‘Ustaz Fadzil Noor Dia Guru…Dia Kawan’ oleh Subky Abdul Latif.

“Sudah jadi kerajaan pun, jika tidak mampu mengangkat sumbangan Almarhum, lebih baik jadi parti pembangkang.

“Kerja parti pembangkang, bangkang saja. Orang buat program mengenang Ustaz Fadzil Mohd Noor, ada suku yang marah tapi tak buat apa-apa pun,” bidas Dr Muhaimin.

 

Keterbukaan

Mengulas perbandingan pemikiran politik antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ustaz Fadzil Noor, beliau berpendapat kedua-dua tokoh tersebut menjana pembangunan politik di negara ini.

“Dua-dua orang Kedah ini saling bermusuhan tetapi menjana pembangunan politik di negara ini dengan cara masing-masing. itu tidak harus dinafikan.

“Tidak semestinya seluruh pendekatan Ustaz Fadzil itu betul. Tidak semestinya seluruh pendekatan Mahathir itu salah.

“Mahathir kata demokrasi tidak baik kepada Malaysia. Hatta sampai sekarang, kalau ditanyakan kepada Mahathir, (kata) tidak.

“Sistem yang terbaik untuk negara membangun seperti Malaysia ini yang pelbagai kaum dan sangat rapuh ialah sistem semi autokratik iaitu kena keras, kena paksa sikit.

“Sebaliknya Ustaz Fadzil berpandangan bahawa sistem demokrasi ini walaupun bukan daripada Islam tetapi merupakan sistem terbaik untuk melaksanakan Islam,” jelas pensyarah itu.

Dr Muhaimin yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat 2012/2015 berkata, kedua-dua kutub pemikiran politik itu boleh digabungkan menjadi kekuatan kepada masyarakat di negara ini.

“Kalau kita taksub bahawa pendekatan kita sahaja dapat membangunkan negara ini, itu maknanya mesti ada masalah.

“Sebab itu keterbukaan yang ada pada hari ini adalah satu kesempatan terbaik untuk kita menjana potensi kepimpinan masyarakat kita pada hari ini,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Ustaz Fadzil Noor dilantik menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) apabila Anwar Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1974 ekoran isu demonstrasi kebuluran di Baling.

Ustaz Fadzil Noor juga pelopor kepada permuafakatan blok pembangkang sehingga membawa kepada penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) ekoran pemecatan dan penahanan Anwar  pada 1998.

Pas diterajui Ustaz Fadzil Noor juga menjadi popular dan mendapat sokongan lebih ramai rakyat merentas negeri dan wilayah demografi.

Pendekatan politik Ustaz Fadzil menyaksikan Pas bermuafakat dengan DAP dan Parti Keadilan membentuk blok pembangkang Barisan Alternatif (BA) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada 1999.

Hasilnya blok pembangkang mencapai prestasi paling baik dalam keputusan PRU era meluapnya Reformasi ketika itu sehingga berjaya mengurangkan jumlah kerusi parlimen BN kepada 148 berbanding 162 kerusi yang diperoleh pada 1995.

Rekod paling baik dicatat oleh Pas apabila bertambah daripada hanya tujuh kerusi pada 1995 menjadi 27 kerusi Parlimen selain dapat mengekalkan Kelantan dan merampas Terengganu daripada BN.