Malaysia Dateline

Pemimpin AMANAH Nasional ziarah beri penghormatan terakhir

Pemimpin AMANAH Nasional hari ini hadir menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada bekas pengasas lidah rasmi Pas, Harakah, Allahyarham Subky Latif yang meninggal dunia jam 11 pagi tadi.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung parti, Datuk Wira Dr Hatta Ramli antara pemimpin terawal yang dilihat berada di kediaman keluarga veteran Pas itu di Gombak, Selangor.

“Memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Pak Subky Latif yang meninggal dunia pagi tadi.

“Semoga Allah ampunkan dosanya, dilepaskan dari azab kubur, diselamatkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga,” kata Salahuddin yang merupakan bekas Naib Presiden Pas di Facebook beliau.

Subky, 80, dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC) di Kuantan awal bulan ini akibat darah merah rendah, jangkitan paru-paru dan masalah jantung.

Penulis pojok Mens Sana in Corpore Sano dalam akhbar Harakah dan penulis ruangan tetap bagi portal Harakahdaily itu dibenarkan discaj pada 19 Jun lalu.

Jenazah Allahyarham yang dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah, Taman Koperasi Polis Fasa 1 akan dikebumikan selepas Asar ini di Tanah Perkuburan Raudhatus Sakinah.

Pada hari ini tahun 2002, Pas kehilangan bekas Presidennya Datuk Ustaz Fadzil Noor yang dikebumikan di Muassasah Darul Ulum di Pokok Sena, Kedah.

“Sama tarikh dengan sahabatnya Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Sungguh erat kasih sayang mereka. Al-Fatihah,” kata Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil yang juga anak kepada Ketua Pembangkang di Parlimen pada 1999 itu.

Dr Hatta ketika disapa bekas Ketua Dewan Muslimat Pas, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang kini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.