Malaysia Dateline

Pemimpin ‘berhati tisu’ sukar lepaskan jawatan

Tidak sampai dua jam Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengumumkan keluar dari parti, kritikan terus dilemparkan kepada Adun Titi Serong itu yang dikatakan sanggup memilih jalan berpaling tadah dari perjuangan.

Bekas Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim, melahirkan kekecewaanya terhadap tindakan berpaling tadah yang di selar sebagai satu penghinaan kepada sayap parti berkenaan dan juga rakyat yang mengundi.

Beliau turut menyindir, sememangnya melepaskan jawatan dalam keadaan parti tidak lagi memerintah, adalah satu perkara yang sukar lebih-lebih lagi bagi mereka yang ‘berhati tisu’.

“Kita sedia maklum bahawa dalam keadaan dibuai kuasa kerajaan yang dipegang, melepaskannya pasti sukar.

“Terutama bagi mereka yang hatinya seakan tisu nipis yang mudah koyak. Datang cabaran, sudah tidak tertahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat itu turut menegaskan agar tidak bersedih dengan pengkhianatan yang dilakukan.

Malah katanya, dengan keadaan yang berlaku, terdedah akhirnya siapa yang benar-benar berjuang demi rakyat dan siapa yang berjuang demi tembolok sendiri.

“Inilah yang berlaku kepada pemimpin yang bertuhankan kuasa dan harta benda. “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui” (Al Anfal: 27).

“Namun, janganlah kita sedih atas pengkhianatan ini. Kita seharusnya bergembira kerana sekurang-kurangnya unsur lacur politik sudahpun meninggalkan pakatan yang kita kukuhkan.

“Paling penting kini, Pemuda AMANAH harus kekal semangat, organisasi diperkuat agar mandat rakyat terus diselamat,” kata peguam itu lagi.