Malaysia Dateline

Pemimpin Bersatu makan besar ketika KL, Selangor berhadapan banjir disindir

Rakyat Selangor dan Kuala Lumpur diminta bersabar dengan memakan biskut dan kopi sahaja kerana Presiden Bersatu dan kesemua pimpinan parti itu  sedang sibuk makan besar sempena Perhimpunan Agung Tahunan parti itu malam tadi.

Pemimpin Pejuang, Muhammad Rafique Rashid dalam satu kenyataannya di Twitter menyindir tindakan Bersatu memuat naik gambar pemimpin mereka berjalan di karpet merah menuju majlis makan besar ketika rakyat Selangor dan Kuala Lumpur terperangkap dalam banjir malam tadi.

“Rakyat Selangor dan KL, sabar ya. Kopi dan biskut sahaja.

“Bersatu ada dinner besar, mohon rakyuat bersabar. Pengerusi MPN berjiwa besar,” tulis beliau ketika mengulas kenyataan pemimpin Bersatu mereka sedang menyertai Majlis Makan Malam Presiden Bersatu sempena perhimpiunan tahun itu.

Ramai penduduk Selangor dan Kuala Lumpur terperangkap dalam banjir besar yang tidak pernah berlaku di Lembah Kelang ekoran hujan yang turun selama dua malam dan satu hari tanpa henti.

Antara kawasan paling teruk adalah Shah Alam apabila banyak kawasan ditenggelami banjir sehingga memutuskan hubungan jalan raya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sibuk mengerahkan anak buahnya menghantar bekalan makanan dan memberikan bantuan kepada penduduk kawasannya yang terperangkap dalam banjir.

Ahli Parlimen Kota Raja yang juga Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu juga terperangkap di Shah Alam.

“Malam ini saya sertai ramai kalangan pengguna jalan raya yang terpaksa berhenti rehat di stesyen minyak Petronas.

“Saya perlu menghadiri mesyuarat di Shah Alam tetapi sudah tersangkut dalam kesesakan jalan raya selama enam jam.

“Hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari mengakibatkan banyak jalan Persekutuan dan Negeri dinaiki air, terpaksa ditutup,” kata Mohamad menerusi Facebook beliau.

Sebuah keluarga yang berkonvoi tiga buah kereta dari Kuala Terengganu dan Kuantan juga terperangkap di Shah Alam sehingga terpaksa menyewa hotel di sana sambil menunggu banjir surut.

Mereka yang bergerak dari Rawang pada jam 2 petang terperangkap di Shah Alam sehingga jam 5 petang sebelum mengambil keputusan turun dan mengambil hotel untuk berehat dan solat.