Malaysia Dateline

Pemimpin Bersatu sokong Mahathir tubuh Majlis Pemulihan Negara

Pelan tindakan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang disebut sebagai Majlis Pemulihan Negara wajar disambut dengan sesuci hati, kata Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Arau, Ameir Hassan.

Menurutnya, Majlis Pemulihan Negara yang dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu merupakan suatu perancangan yang ternyata bebas dari pengaruh politik.

“Tun Dr Mahathir terlibat dalam Mageran. Ramai lagi, umpamanya Tun Hanif Omar, seorang yang dinobatkan sebagai Ketua Polis Negara terhebat di Benua Asia pada zamannya. Beliau masih gagah dan bewibawa,” ujarnya.

Menerusi hantaran di Facebook beliau sebentar tadi, Ameir turut menegaskan keputusan politik mesti diketepikan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

“Bukan masa lagi untuk politik. Keselamatan rakyat agenda utama. Pengaruh politik tidak boleh lagi menggangu setiap keputusan eksekutif,” katanya.

Pada 10 Jun lalu, Mahathir mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti Mageran ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, cadangan tersebut dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Ameir berpendapat ahli-ahli Majlis Pemulihan Negara harus dilantik daripada kalangan yang berpengalaman dan berilmu tetapi tidak berminat untuk mencari kedudukan dalam pemerintahan dan politik negara.

“Masih terdapat ‘nation elders’ yang masih peduli dan segar pemikiran mereka yang peka mengikuti arus perkembangan politik, ekonomi dan keselamatan.

“Tun Abd Razak Hussein, pasca Tragedi 13 Mei 1969 telah menyebut ‘nation’s security is paramount consideration’,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan rakyat tidak boleh lagi terus bergantung kepada kerajaan yang lemah untuk menang dalam sesuatu peperangan.

“Kealpaan atau ‘complacency’ dari pihak yang ada kuasa adalah suatu kekhilafan yang tidak boleh dimaafkan oleh sejarah tamadun manusia dan akan menjadi titik paling hitam dalam sejarah negara.

“Kerajaan yang angkuh dan kuat seperti Amerika Syarikat telah pun tewas hanya kepada kumpulan gerila yang berjuang demi untuk terus hidup,” tambah Ameir lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh ahli Bersatu di negara ini agar “kembali ke pangkal jalan” dengan memberi sokongan padu kepada Majlis Pemulihan Negara seperti dicadangkan Mahathir demi mengembalikan kekuatan untuk menang dalam perang melawan Covid-19.