Malaysia Dateline

Pemimpin, calon PH terus rayu pengundi

Malam terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan pemimpin dan calon Pakatan Harapan (PH) terus merayu agar rakyat Melaka keluar mengundi esok.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi berkata, calon-calon PH tidak kurang hebat dengan kombinasi tokoh-tokoh yang berpengalaman dan yang mengangkat suara dan nurani anak muda.

“Dengan penuh rendah diri saya merayu kepada seluruh rakyat di negeri Melaka untuk memilih Harapan esok sebagai usaha dan upaya kita memperteguh hasrat dan kepentingan semua.

“Jaga diri, dan semoga kita bertemu lagi di kesempatan lain dan selamat mengundi!” katanya.

Anwar yang juga Presiden PKR itu berkata, rakyat pelbagai kaum mahukan sebuah kerajaan yang patuh pada etika kebertanggungjawaban yang tinggi serta hormat akan pilihan dan hak rakyat serta yang mampu memperkasa elemen kebersamaan antara kaum dan agama.

“Faktor utama yang menjadi tonggak kepada nilai-nilai ini semestinya kestabilan tanpa kacau bilau politik yang mampu menyentak negeri dari kemakmuran pembangunan dan ekonomi.

“Harapan menawar dan menjanjikannya serta yakin negeri ini banyak keupayaan yang mampu ditambahbaik dan disemarakkan demi kesejahteraan negeri dan rakyat.

“Tidak boleh sekiranya sekali lagi negeri ini dihadapkan ke kancah intrik yang tidak berkesudahan yang akhirnya akan memangsakan warga Melaka terutamanya,” tegas Anwar lagi.

Sementara itu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengajak seluruh rakyat Melaka di DUN Serkam untuk mengundi calon Ustaz Muhammad yang bersaing dengan tiga pencabar.

“Insya-Allah dengan berkat kesungguhan dan doa semua, calon kita akan dipilih mewakili rakyat, yang rata-rata mahukan Saudara Adly Zahari menjadi Ketua Menteri, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.

Terdahulu, Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan siang tadi menyertai kempen bergerak bersama Ustaz Muhammad yang merupakan Ketua Pemuda AMANAH Melaka itu.

Turut serta Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah merangkap Pengerusi AMANAH Terengganu dan ADUN Taman Templer, Sany Hamzan.

Bagi Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula, PRN Melaka sebenarnya menyaksikan tiga pilihan antara PH, BN dan PN.

Beliau berpendapat PRN yang menyaksikan pertandingan antara tiga hingga enam penjuru di semua 28 kerusi DUN itu sebagai keadaan yang aneh dan luar biasa.

Menurutnya, PH terpaksa bersaing dengan dua lagi gabungan politik iaitu BN dan PN yang di peringkat Persekutuan, mereka adalah dalam kerajaan.

“Inilah gabungan yang sedang menerajui kerajaan di peringkat Persekutuan. Anehnya, sebuah kerajaan yang disokong BN dan PN tetapi dalam PRN Melaka, mereka saling berantakan,” katanya dalam Ceramah Perdana PH sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa rakyat Melaka tidak harus diberi dengan tawaran politik yang tidak jelas.

“Di peringkat Persekutuan, mereka (BN dan PN) satu gabungan. Padahal, ini satu tawaran yang rapuh dan saya anggap merendahkan kebijaksanaan rakyat Melaka.

“Sekarang PN menjawab serangan BN. BN menempelak PN. PN membelasah BN. Di KL, mereka balik dan duduk dalam mesyuarat jemaah menteri,” tempelaknya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu turut menyampaikan serangkap pantun lama.

“Kalau mencari tempat mandi, Pertama teluk kedua pantai; Kalau mencari pemimpin negeri, Pertama elok kedua pandai.

“Elok dan pandai itu ada pada 28 calon PH. Pesan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara untuk balik menunaikan tanggungjawab esok,” rayunya lagi.

Saifuddin Nasution Ismail