Malaysia Dateline

Pemimpin DAP ambil kesempatan Ramadan salur bantuan, ringankan beban

Ramadan tahun ini, sekali lagi umat Islam seluruh dunia menyambutnya dengan ujian pandemik yang belum lagi menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

Walaupun tanpa peruntukan daripada kerajaan, wakil-wakil rakyat DAP daripada pelbagai latar kaum dan agama aktif menghulur sumbangan kepada penduduk di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (gambar atas) berkata, sebagai tanda penghargaan dan meraikan penduduk Muslim Segambut, 41 buah surau dan sembilan buah masjid telah dihadiahkan bekalan buah kurma dan sumbangan kewangan.

Sebelum itu, Hannah Yeoh juga telah membeli sayuran segar daripada petani tempatan, lalu mengedarkannya kepada 50 buah keluarga di Kampung Segambut Dalam.

Ini bagi meringankan beban mereka yang memasak untuk juadah berbuka atau bersahur dalam bulan Ramadan ini.

Tan Kok Wai membantu Puan Hida.

Pada 17 April 2021, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang telah menerima mesej daripada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, telah membantu Puan Hida sekeluarga yang mana anak mereka, Nur Qalesya (5 bulan) menghidap penyakit Dekstrokardia (jantungnya terletak di sebelah kanan dada dan juga baru sahaja selesai operasi pediatrik).

Sempena Ramadan ini, pejabat Kok Wai menghulur bantuan barang keperluan asas serta wang tunai kepada Puan Hida sekeluarga, lebih-lebih lagi suaminya pula telah kehilangan pekerjaan pada penghujung tahun 2020.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pula pula telah menyampaikan buah kurma kepada Masjid Kubang Buaya pada hari pertama Ramadan untuk diedarkan kepada Muslimin dan Muslimat di kawasan tersebut.

MP Taiping menumbang pelbagai barangan sempena Ramadhan.

Dalam pada itu, Guan Eng dan Zakat Pulau Pinang turut mengagihkan bantuan zakat kepada golongan fakir miskin di Parlimen Bagan bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan sempena Ramadan.

Sumbangan pada tahun ini diberikan dalam bentuk voucher yang membolehkan penerima memilih sendiri barangan runcit yang mereka perlukan dan ini merupakan cadangan Guan Eng dalam Sesi DUN Pulau Pinang yang lalu.

Di Saleng, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dengan bantuan Ketua Kg Melayu Saleng, Tok Shahul dan Haji Hisham selaku Pengerusi NGO Peduli Kulai telah berjaya menyalurkan bantuan sumbangan kepada 20 buah keluarga memerlukan.

Di samping itu, Nie Ching dengan kerjasama Adun Senai, Alan Tee Boon Tsong serta pasukan mereka telah mengedarkan buah kurma di Pejabat-Pejabat Kerajaan sekitar Daerah Kulai.

Sheikh Omar Ali menghulurkan sumbangan di Bazar Ramadhan.

Di Johor juga, Adun Paloh, Sheikh Omar Baghrib Ali bersama Pakatan Harapan (PH) Paloh; ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri dan Adun Ketari, Young Syefura Othman turut menjalankan aktiviti memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada penduduk di kawasan masing-masing secara percuma.

Selain daripada itu, ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto; ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming; Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy, dan ramai lagi wakil rakyat DAP yang berusaha semampu mereka bagi menghulurkan bantuan sepatutnya kepada mereka yang memerlukan dalam bulan Ramadan ini.