Ahli Parlimen DAP persoal Tajuddin jadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia

Oleh ARIF ATAN

Pelantikan ‘otai’ Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia mengundang kritikan banyak pihak tidak terkecuali pemimpin DAP.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menerusi ciapan di Twitter secara sinis berkata Ahli Parlimen Pasir Salak itu bukan pilihan yang terbaik di negara ini.

Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pelantikan Tajudddin ekoran ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

“Indonesia, harap maklum bahawa ini bukan yang terbaik di Malaysia. Akibat Langkah Sheraton, semua yang kami ada bukanlah yang terbaik yang ditawarkan oleh negara ini (dan ini termasuk juga Kabinet kami),” tulisnya.

Sebelum ini, Tajuddin, 74, dikatakan akan melapor diri sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia akhir bulan ini.

Bagaimanapun, orang ramai mengecam pelantikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mempersoal sama ada Malaysia terlalu terdesak sehingga tiada diplomat yang berkelayakan.

“Boleh saya tanya Ismail Sabri,” adakah Malaysia begitu terdesak dan tidak mempunyai diplomat yang berkelayakan yang boleh mewakili negara kita?” soalnya sambil turut menanda (tag) Presiden Umno itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya ‘kerajaan pintu belakang’ pada masa ini berhenti daripada memalukan Malaysia.

“Berapa kali kerajaan pintu belakang ini mahu memalukan negara tercinta? Cukup-cukuplah,” tegasnya lagi.

Nga Kor Ming

Untuk rekod, Tajuddin dilantik Prasarana Pengerusi Kumpulan berkuatkuasa 11 Mei 2020 hingga 26 Mei 2021 bagi menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Tajuddin yang berasal dari Kampung Gajah, Perak merupakan pemegang Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) pada 1972 dari Universiti Malaya (UM) dan memulakan karier dalam perkhidmatan awam pada tahun sama.

Pernah menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bermula 2013 hingga 2018, Tajuddin dikatakan banyak terlibat dalam sektor perniagaan dan korporat sebelum menceburi bidang politik.

Tahun lalu, dia yang juga bekas Pengarah Piliharaya Umno dikecam pelbagai pihak kerana dilihat tidak sensitif ketika mengendalikan sidang media berhubung tragedi kemalangan melibatkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Baca Khalid, Tajuddin, bertikam lidah pasal “Kok” di Parlimen

Baca Ini sebab anda kena restart phone seminggu sekali