Malaysia Dateline

Pemimpin dunia ucap tahniah pada Anwar, berharap dapat kuatkan kerjasama dua negara

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima banyak ucapan tahniah dari pemimpin-pemimpin dunia selepas beliau sah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Antaranya Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang menerusi ciapan di Twitter mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikannya.

“Tahniah Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan anda sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya mengharapkan kerjasama rapat bagi memperkukuhkan lagi Pemantapan Kerjasama Strategik India-Malaysia”.

Sementara itu dalam perkembangan lain di Facebook, Presiden Indonesia, Joko Widodo menjadi ketua negara pertama yang menghubungi Anwar dan mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

“Terima kasih Presiden Indonesia, Bapak Joko Widodo, yang menjadi kepala negara pertama yang menghubungi saya mengucapkan tahniah.

“Saya tegaskan Indonesia adalah sahabat sejati Malaysia dan saya mengharapkan hubungan perdagangan, perniagaan, pelaburan, budaya dan isu pekerja dapat dipertingkatkan. Persahabatan kedua-dua semestinya diperkukuh,” katanya.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese turut mengucapkan tahniah sambil menambah berharap dapat meneruskan kerjasama bersejarah antara dua negara.

Kerajaan Perpaduan Nasional yang dibentuk setakat ini sudah membabitkan penyertaan tiga gabungan utama membabitkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Baca juga: PM Singapura ucap tahniah, tidak sabar mahu jumpa Anwar

Baca juga: Harap dapat pulihkan keyakinan rakyat, Anwar tolak gaji Perdana Menteri