Pemimpin Future Forward Party digantung sementara sebagai MP

 Pemimpin Future Forward Party digantung sementara sebagai MP

Pemimpin Future Forward Party dari Thailand, Thanathorn Juangroongruangkit digantung sementara sebagai anggota Parlimen (MP), iaitu sehari sebelum sesi parlimen bermula.

Mahkamah Perlembagaan hari ini memutuskan 8-1 penggantungan sementara status MP terhadap Thanathorn.

Mahkamah juga memutuskan 9-0 untuk menerima kes itu yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Thailand (EC) terhadap Thanathorn kerana memegang saham dalam sebuah syarikat media semasa Pilihanraya Umum pada 24 Mac.

Beliau berhadapan dengan penjara hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut bila satu keputusan akan diumumkan.

Berikutan pengumuman itu, ahli politik yang semakin meningkat naik namanya itu akan terlepas menghadiri buat kali pertamanya sesi Parlimen yang baru, esok.

Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida dijadual merasmikan penggal pertama sesi Parlimen di Vithes Samosorn Hall, Bangkok.

Pada Jumaat, 250 Senator akan memilih Speaker Dewan Negara dan Timbalan Speaker manakala 500 anggota Dewan Perwakilan akan memilih Speaker dan Timbalannya pada Sabtu.

Pada 6 April, Thanathorn didakwa atas hasutan berhubung perhimpunan anti-Junta pada 2015. Dia menghadapi dua lagi pertuduhan membabitkan Artikel 189 kerana membantu yang lain melakukan satu jenayah serius dan Artikel 215 kerana mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram.

EC mendakwa bahawa hartawan-bakal-ahli politik itu mempunyai 675,000 saham dalam V-Luck Media Company selepas mendaftar sebagai seorang calon MP.

Bagaimanapun, dia menafi melanggari undang-undang pilihan raya dengan berkata bahawa dia menjual saham medianya pada 8 Jan, sebelum mendaftar sebagai calon untuk pilihan raya umum itu.

Pada satu persidangan akhbar, Thanathorn berkata, beliau tidak bersetuju dengan perintah mahkamah hari ini dan akan terus berjuang untuk keadilan.

Beliau mempersoal sama ada ia satu tindakan politik memandangkan EC bertindak begitu pantas dalam mengemukakan petisyen terhadap beliau sedangkan panel penyiasat masih menjalankan siasatan terhadap kes itu.

Thanathorn berkata, beliau kekal sebagai calon Perdana Menteri bagi Future Forward Party.

“Saya dan parti saya akan terus mencari rakan politik (dalam membentuk gabungan) untuk mengetengahkan Thanathorn sebagai Perdana Menteri. Thanathorn mempunyai hak sebagai MP,” katanya.- BERNAMA