Pemimpin jadi jurucakap Bersatu elok turuti langkah Ghani Harun, kata MKT Umno

Oleh Oleh BORHAN AHMAD

Para pemimpin Umno diminta tidak menjadi jurucakap parti Bersatu dalam pilihan raya negeri Melaka yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, mereka patut mematuhi segala keputusan MKT yang telah dibuat bersama di kalangan pimpinan Umno.

“Kita minta seorang dua pemimpin Umno supaya tak payahlah jadi jurucakap parti Bersatu.

“Patuh sahaja kepada keputusan MKT,” kata Puad dalam tulisan di Facebook beliau malam tadi.

“Tapi kalau nak ikut juga cara Idris Harun, silakan,” kata bekas ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menyeru Umno dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.

Katanya, keputusan itu dicapai sebulat suara oleh Umno Bahagian Arau untuk bekerjasama dengan Bersatu dan PAS yang berada dalam PN bagi menjamin kemenangan yang mudah dalam PRN tersebut.

“Kita akan beri gambaran tak baik mengenai pembentukan kerajaan yang sekarang kerana ia dibentuk antara parti-parti politik yang duduk bersama.

“Timbalan Presiden (Mohamad Hassan) kata Umno kuat, kalau Umno kuat, mintalah kerusi lebih,” kata ahli Parlimen Arau itu kepada satu laman web.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan selepas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang kepercayaan majoriti apabila empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadapnya.

Empat Adun itu diketuai oleh bekas ketua menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang).

Tiga lagi ialah Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi pendirian parti itu untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu termasuk dalam PRN Melaka.

Katanya, keputusan itu adalah muktamad dan tidak timbul soal Umno lambat atau cepat membuat keputusan berhubung kerjasama berkenaan.

“Untuk Bersatu kita telah buat keputusan tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka. Noktah!” kata Zahid.

Semalam Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan bertanding di semua 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rundingan dalam kalangan parti PN termasuk Pas dan Gerakan akan diadakan segera untuk memastikan kemenangan gabungan itu dalam PRN nanti.

“Kita menjangkakan keputusan Umno enggan bekerjasama namun mengambil pendekatan berhemah untuk menunggu parti itu untuk menyatakan pendirian,” katanya.