Malaysia Dateline

Fokus untuk selesaikan masalah rakyat, kata PM

Pemimpin perlu sentiasa mengambil berat dan memberikan fokus kepada menyelesaikan masalah dan penderitaan rakyat dan tidak harus mengabaikan mereka, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, keupayaan untuk merasai denyut nadi rakyat merupakan antara satu aspek kepimpinan yang sering diabaikan oleh pemimpin.

Katanya, kadang kala apabila pemimpin daripada golongan bangsawan dan dari keturunan diraja, kecenderungan untuk tidak memahami penderitaan rakyat biasa begitu ketara.

“Kadang-kadang, pemimpin bangsawan dan keturunan diraja cenderung untuk tidak memahami penderitaan rakyat biasa adalah lazim.

“Ambil contoh Mary Antoinette, apabila diberitahu bahawa para petani lapar dan mahukan roti, beliau berkata: ‘Berikan mereka makan kek’.

“Sama ada Marie Antoinette berkata seperti itu atau tidak, yang pasti pemimpin terpisah dengan penderitaan rakyat yang sebenarnya dapat diselesaikan tetapi dibiarkan berterusan.

“Boleh dikatakan bahawa orang-orang biasa yang telah menjadi pemimpin dan tidak mengendahkan penderitaan rakyat biasa ini bukan kerana kejahilan mereka, tetapi kerana sikap tidak peduli,” katanya dalam program My Voice My Nation Malaysia 2019, di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Dalam pada itu, ketika beliau menggesa para pemimpin untuk memahami ketidakcukupan rakyat yang memerlukan, namun beliau percaya kepada usaha keras yang terletak pada setiap individu untuk mengubah kehidupan sendiri.

“Tetapi saya juga percaya pada usaha keras untuk membebaskan diri daripada kemiskinan dan kesukaran.

“Semasa saya seorang remaja, ketika orang Jepun menjajah kami sehingga terpaksa berhenti sekolah buat sementara waktu, saya menjual pisang goreng di Pekan Rabu Alor Setar. Perniagaan tersebut semakin berkembang dan saya dapati bahawa peluang itu sentiasa ada jika kita berusaha keras untuk dapatkannya.

“Apabila saya menjadi pemimpin dan memegang jawatan, saya mula sedar bahawa tidak semua orang mampu mencari peluang dan terkadang mereka yang berkuasa harus membantu rakyat memerlukan dalam mencari jalan keluar,” ujarnya.

My Voice My Nation Malaysia 2019 turut menampilkan personaliti terkemuka dalam pengucapan awam dari dalam dan luar negara membabitkan ahli politik, usahawan dan penghibur yang akan berkongsi kisah kejayaan serta pengalaman hidup mereka sebagai sumber inspirasi.

Turut mengambil bahagian sebagai speaker kehormat ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes; selain persembahan hiburan artis Hong Kong, Michael Wong Man Tak.

Dalam Majlis sama, Dr Mahathir turut menyampaikan cek Derma Amal Atlet Para yang kesemuanya berjumlah RM150,000.