Malaysia Dateline

Pemimpin Melayu untuk Ketua Menteri Pulau Pinang!

Beberapa hari yang lalu Profesor Dato Dr Ahmad Murad Merican dalam FB-nya mengemukan pandangan mengenai menyahkan parti politik dari bumi dan persekitaran Pulau Pinang. Katanya dalam FB-nya bahawa akibat pemerintahan berasaskan parti telah membawa kepada keganasan geografi, sejarah, budaya dan ekonomi akan terus menjadikan kita sebagai masyarakat yang sakit dan akhirnya pupus dan mati.

Ini memandangkan sepanjang pentadbiran parti politik di Pulau Pinang projek-projek mewah yang dilaksana tidak benar-benar memanfaatkan golongan bawahan terutamanya orang Melayu di negeri ini.

Apa yang disebut beliau nyah parti atau menyingkirkan pemerintahan berbentuk parti adalah sesuatu yang menarik untuk difikirkan. Saya tidak apakah maksud beliau dengan nyah parti daripada bumi Pulau Pinang. Apakah Pulau Pinang harus diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan dengan menubuhkan Wilayah Persekutuan.

Atau Pulau Pinang harus dikembalikan kepada Kedah sebagaimana yang pernah diutarakan beliau bersandarkan kepada fakta-fakata sejarah yang memerlukan penjelasan yang panjang lebar di sini.

Dalam hubungan ini sebagai menunjukkan contoh projek mewah yang menjejaskan kesejahteraan masyarakat khususnya orang Melayu di Pulau Pinang, seorang aktivis masyarakat, Mohd Salleh Yahaya dalam FB-nya berkata projek 3 pulau buatan South Island akan menutup laluan nelayan pantai Teluk Kumbar.

Pemimpin Melayu untuk Ketua Menteri Pulau Pinang!
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow

Menurut beliau tidak terbetikkah di hati nurani Adun Dewan Undang Negeri Pantai Jerjak, Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Betong dan Telok Bahang untuk bersuara demi kehidupan nelayan pantai yang sedang diancam kepupusan akibat projek penambakan di kebanyakan kawasan Di Pulau Pinang yang merupakan tapak nelayan Melayu di sana.

Dalam kebanyakan keadaan pemerintahan parti politik tidak menghargai sumbangan nelayan di negeri ini yang berjuang di tengah laut membawa hasil tangkapan untuk dimakan oleh rakyat negeri ini. Tiada kemanusiaan dan keihsanan parti politi yang memerintah kerajaan negeri terhadap golongan nelayan.

Apa yang mereka impikan ialah membangun projek penambakan laut dan pembangunan kondominium mewah di kawasan yang menjejaskan mata pencarian nelayan di tepi. Inikah mentaliti yang ada di tangan ahli politik berpart?.

Pandangan Prof Murad mengenai menyahkan parti politik di Pulau Pinang ingin saya kemukakan alternatif dengn menambah bahawa sudah sampai masanya Pulau Pinang meninggalkan politik representasi kerana ia tidak menguntungkan rakyat negeri ini khususnya orang Melayu.

Mungkin saya tidak mempunyai data untuk menguatkan hujah ini tetapi sepanjang membesar di Pulau Pinang keadaan orang Melayu semakin terpinggir, mereka sudah tidak mampu hidup di kawasan pulau yang kos hidup semakin meningkat dan terpaksa membeli rumah di kawasan tanah besar sekitar Seberang Prai, Kulim dan Sungai Petani, Kedah.

Apakah yang dapat dilakukan parti Melayu di Pulau Pinang? Apakah yang dilakukan oleh Adun-Adun bagi menyekat penghijrahan orang Melayu ke tanah besar misalnya.Sejauh manaka peranan parti politik dalam membantu golongan terpinggir seperti nelayan.

Isu keadaan setor simpanan pukat nelayan yang dirobohkan penguat kuasa di Kampung Nelayan Sungai Batu pada Rabu lalu misalnya.

Walaupun wujud ketidakpatuhan undang-undang tetapi bukan ia bukan satu kesalahan jenayah berat, sebaliknya memerlukan kompromi dan penyelesaian yang dapat memberikan kemudahan.

Para nelayan menghadapi masalah batu ladung pemberat pada pukat mereka sering hilang. Batu timah itu orang ambil curi dan jual sebab ada harga. Pukat buang dalam air tak tenggelam bila nak tangkap ikan.

Pembina setor berkunci bertujuan menyimpan pukat bagi mengelakkan berlakunya kecurian.

Sejauh manakah pihak kerajaan mengadakan perbincangan bersama para nelayan bagi mencari alternatif kepada masalah golongan itu dan bukannya menambahkan lagi beban mereka.

Isu nelayan Tanjung Tokong baru-baru ini mendapat perhatian parti pemerintah negeri setelah sekian lama disuarakan. Ia berhubung isu kawasan tanah yang diduduki kira-kira 90 penduduk di Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong yang merupakan rizab pantai, bukannya kawasan komersial seperti yang sedia ada pada masa ini.
Adakah baru disedari setelah sekian lama berlaku salah faham status sehingga sekarang hendak diperbetulkan?

Memang benar, Pulau Pinang tidak memerlukan parti politik kerana seperti dinyatakan Prof Murad dalam FB-nya kerana telah wujud satu persekitaran yang ganas dan tidak bertamadun. Satu pertembungan kapitalisme, liberalism (tambahan saya konon-konon ingin mencontohi Singapura dan Hong Kong) dan neo-penjajahan yang amat dahsyat.
Isu penukaran nama Geogetown kepada Tanjung Penaga atau Tanjung dan Butterworth kepada Bagan juga tidak diendahkan pemimpin negeri dan diberikam perhatian serius kerana mereka isu ini penting.

Dalam hubungan ini Pulau Pinang harus mengorak langkah ke arah politik partisipasi dengan menolak politik representasi. Ini memandangkan parti-parti politik dengan repesentasi adun dan ahli parlimen Melayu dan juga parti politik Melayu tidak menjadi hamba rakyat dalam menjaga kebajikan dan kemanusiaan orang Melayu apatah lagi parti politik bukan Melayu.

Sudah sampai masa kerusi Ketua Menteri harus dipimpin oleh orang Melayu. Tema besar dalam Pilihan Raya ke-15 di Pulau Pinang ialah kerusi Ketua Menteri untuk Orang Melayu. Biarkan orang Melayu yang memerintah Pulau Pinang.
Sudah lama kalau tidak silap sejak merderka Gerakan dan sekarang DAP memerintah Pulau Pinang. Kini giliran orang Melayu menjawat jawatan Ketua Menteri.

Mungkin ada yang bertanya apakah jaminan bahawa dengan jawatan Ketua Menteri diberikan kepada orang Melayu kebajikan dan kemanusiaan orang Melayu akan terbela dan dijaga? Tiada jawapan objektif diberikan mengenainya tetapi dengan orang Melayu diberikan jawatan Ketua Menteri fokusnya akan lebih tertumpu. Dasar kerajaan negeri akan lebih prihatin dan beri perhatian kepada keadaan orang Melayu.

Tetapi kepimpinan orang Melayu yang bagaimana kerana penolakan terhadap kepimpinan orang Melayu yang datang daripada parti Politik. Politik partipatisipasi harus datang dari pemimpin rakyat, terutamanya kalangan pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan dan persatuan awam.

Mereka harus menjadi calon bebas yang mewakili rakyat secara langsung, lebih memahami jerit payah rakyat. Misalnya wakil golongan nelayan harus bertanding sebagai calon dalam PRU-15 ini dengan tema orang Melayu jadi Ketua Menteri.

Kesemua kawasan adun dan parlimen terutama di kawasan majoriti Melayu harus ditandingi calon bebas parti dengan tema di atas. Dana akan menjadi masalah kerana kos untuk bertanding Adun dan Ahli Parlimen agak tinggi.

Dalam hal ini dana rakyat diperlukan. Jika dana boleh dicari bagi kejadian bala bencana seperti banjir, anggaplah ini adalah bencana yang menimpa Pulau Pinang oleh pemerintahan parti Politik.

Calon dari NGO-NGO dan persatuan kepimpinan rakyat harus bebas daripada pengaruh parti politik. Massa rakyat di Pulau Pinang haruslah sedar bahawa kemelut dan kemelaratan rakyat bawahan di Pulau Pinang tidak dibela oleh parti pemerintah di negeri ini.

Kenyataan seperti ini bukan bersifat perkauman tetapi umum mengetahui isu kemelaratan dan ketinggalan orang Melayu dari segi pembangunan di negeri ini berbanding di negeri-negeri lain di Semenanjung.

Orang Melayu di Pulau Pinang harus bangkit dan peka bahawa mereka tiaada masa depan dengan representasi parti politik, Sokongan harus berubah membawa projeksi dan lonjakan paradigma ke arah politik partisipasi, calon-calon NGO dan pertubuhan masyarakat daerah dan setempat yang lebih memahami keperluan lokal dan komitmen yang akan diberikan.

Mungkin sesetengah pembaca akan tertawa dan menganggapnya sebagai lucu dan tidak masuk tetapi apa salahnya jika ruang diberikan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan yang bercambah di negeri ini dan komitmen dan perjuangan aktivitisnya tidak mengira masa dan kawasan.

Ini bukan berkempen kerana kita pun tidak mengetahui bilakah masa PRU-15 diadakan. Banyak yang meramalkan pada tahun ini tetapi marilah dizahirkan Melayu untuk Ketua Menteri Pulau Pinang! Calon bebas partisipasi pejuang rakyat untuk semua kerusi majoriti Melayu kawasan Adun dan Parlimen di negeri ini.