Pemimpin muda PH lebih demokratik, dinamik bukan macam Khairil Nizam

Oleh NASUHA RAHMAN

Rakyat Malaysia mesti berani membuat perubahan mengangkat dan memilih jenerasi muda yang lebih cerdik dan beramanah menganti pemimpin zaman purba dinosaur yang ketandusan idea serta korup dalam kerajaan yang gagal, demikian menurut Senator Raja Kamarul Bahrin Shah.

Bahkan katanya, pemimpin belia yang bijak dan berani hari ini adalah harapan utama untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.

Merujuk kepada pendakwaan mahkamah terhadap pemimpin parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung isu tuduhan salahguna dana parti Bersatu, Kamarul berkata, tindakan itu memperlihatkan keterdesakan parti pemerintah yang dilihat takut akan ancaman politik pemimpin muda ini terhadap kekuasaan mereka.

“Pendakwaan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq telah menunjukkan lebih jelas lagi kerajaan Perikatan Nasional adalah sebuah kerajaan yang lemah,” kata beliau dalam kenyataan.

Jelas beliau kepimpinan Syed Saddiq dan beberapa pemimpin muda Pakatan Harapan, memberi satu harapan kepada masa depan anak muda Malaysia manakala Ketua Pemuda PN Khairil Nizam dilihat dari kluster pemimpin yang lemah dan hanya tunduk kepada tradisi wala’ terhadap apa jua kata kata ulama dalam PAS.

“Rakyat Malaysia khususnya anak muda sepatutnya berdiri dibelakang Syed Saddiq memandangkan beliau mempunyai prinsip dan kewibawaan sebagai seorang pemimpin masa depan.

“Kejayaan beliau mengumpulkan sumbangan RM700,000.00 kurang dari 24 jam untuk membiayai kos guaman beliau menunjukkan begitu ramai rakyat Malaysia berdiri menyokongnya,” kata beliau.

Menurut Kamarul lagi pemimpin Pemuda Pakatan Harapan lebih menjanjikan masa depan demokratik yang lebih dinamik dan bersemangat untuk negara.

“Syed Saddiq dan pemimpin Pemuda Pakatan Harapan seperti Shazni Munir dari AMANAH, Howard Lee dari DAP and Akmal Nasir dari KEADILAN cukup kedepan dan menenggelamkan pemimpin muda yang hanya tahu tunduk dan mabuk kepada kekuasaan seperti Khairil Nizam,” ujarnya.

Justeru beliau percaya pendakwaan politik secara terpilih secara terang-terangan terhadap Syed Saddiq ternyata dilakukan oleh rejim terdesak Perikatan Nasional yang mengambil cara pemerintahan terdahulu yang sudah tidak diterima pada masa kini oleh akal yang waras.

Tindakan Ketua Pemuda PN Senator Khairil Nizam katanya yang membuat kenyataan murahan menyerang Syed Saddiq, adalah sangat tidak wajar.

Sebagai pemimpin belia, katanya Khairil Nizam seharusnya menunjukkan rasa simpati dan solidariti terhadap pemimpin muda yang diasak itu.

“Tetapi kenyataan Khairil Nizam tidaklah pelik memandangkan dia juga adalah ketua pemuda parti PAS, iaitu sebuah parti yang menolak usul rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun untuk mengundi dalam pilihan raya, mendakwa mereka adalah kumpulan yang tidak matang untuk memilih pemimpin negara, walaupun sebelum menjadi sebahagian dari kerajaan, PAS dilihat menyokong idea terbabit.

“Setiausaha Agung PAS, yang juga merupakan Menteri Undang Undang yang sebelumnya berjanji bahawa belia berusia 18 tahun akan turut dapat mengundi, telah mencipta pelbagai alasan bagi melengahkan pendaftaran pengundi 18 tahun.

“Berbanding dengan pemimpin pemuda Umno sebelumnya dan sekarang, yang lebih agresif dan menyokong penyertaan orang muda, pemimpin pemuda Pas menunjukkan sikap sebaliknya yang lemah serta menyedihkan sebaris dengan pemuda Bersatu, MCA, dan MIC.

“Sangat menarik untuk diperhatikan bahawa pemuda Umno tidak senada dengan Khairil Nizam menyerang Syed Saddiq.

“Sebagaimana pemimpin senior atau lama dalam Pas, Khairil dilihat tiada arah tuju politik yang jelas dan juga mempamirkan kepimpinan yang lemah, dan hanya mengikut telunjuk Perdana Menteri agar boleh terus berkuasa,” katanya lagi.