Pemimpin parti ‘ehem’ tak perlu kepanasan, kata Hanipa

Pemimpin parti ‘ehem’ tak perlu kepanasan, kata Hanipa

Pemimpin AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin berpendapat pemimpin Pas tidak perlu kepanasan dengan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) itu yang menggelarkan Pas sebagai parti ‘ehem’ berkata, reaksi pemimpin tertinggi parti itu berbeza kewajarannya dengan PKR.

“Ada pemimpin tertinggi parti ‘ehem’, yang baru menang tanpa bertanding dalam muktmar partinya, dilapor rasa pelik apabila dia mendakwa pemimpin parti PKR “kepanasan” dalam isu pelantikan seorang mantan pemimpin wanita PKR mengetuai SPRM.

“Bagi saya, jika orang PKR bercakap tentang mantan pemimpin mereka, ianya amat wajar. Tiada yang pelik. Ini menunjukkan ahli dan pemimpin PKR amat peka apa yang berlaku pada parti mereka.

“Mereka mahukan parti mereka ke hadapan dalam mempamerkan the best practices dalam politik. Lagipun, PKR bukan berbudaya macam parti ‘ehem’ yang mungkin dilihat janggal jika pemimpin ditegur secara terbuka.

“Jika orang PKR bising kepada PKR, bagi saya, ia amat logik. Yang tak logik bila satu waktu dulu, orang parti ‘ehem’ yang sibuk “kepanasan” dan kacau kerusi MB Selangor yang telah disepakati oleh PR direzab bagi PKR,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Hanipa yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut berkongsikan pengalamannya ketika menjadi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

“Saya ada dalam mesyuarat AJK pusat parti ‘ehem’ yang mana pemimpin yang kata sekarang ini yang asalnya cadang YAB TPM sekarang sebagai calon nombor satu jawatan MB Selangor dan semua setuju dengan cadangan tersebut.

“Mesyuarat paling pendek dalam sejarah parti ‘ehem’, setakat saya tahu. Selepas beliau cadang dan ianya dipersetujui, beliau juga yang kemudiannya tidak bersetuju dan tuduh macam-macam ke atas YAB TPM sekarang.

“Apabila Presiden AMANAH sekarang bawa keputusan sebulat suara parti tersebut dalam mesyuarat PR, presiden AMANAH itu pula yang dilabel jadi “ayam daging”.

“Tidak pelikkah? Tak cukup dengan itu kerusi MB Selangor yang direzab untuk PKR pun parti ‘ehem’ usaha nak rampas dengan bagi calon nama MB dari parti ‘ehem’ kepada YM Sultan,” ujarnya.

 

Anjing DAP 

Mengulas lanjut, beliau berkata, ekoran insiden tersebut bermulalah siri melabel dengan ganas terhadap kumpulan yang hari ini berada dalam AMANAH seperti Jebon, barua, pengkhianat, lawan atau anti ulama’, anjing DAP, peguam neraka, Anwarinas dan aneka kecaman lagi.

“Jika pemimpin tertinggi parti ‘ehem’ ini rasa pelik PKR bising pada PKR, tidakkah beliau juga patut rasa lagi pelik yang parti beliau kini boleh ber”mesra” dengan Umno dan dengar khabar ada pemimpin parti ‘ehem’ yang dah boleh rasmi mesyuarat agung MIC lagi.

“Tak pelik lagikah parti yang dulu amat kuat menentang kemungkaran BN, macam tak rasa apa-apa dalam isu kleptokrasi 1MDB.

“Tak pelik lagikah saman kes sampai ke London, kutip sakan derma dari ahli-ahli bawah, lepas itu tarik balik saman.

“Yang lagi pelik mula-mula dakwa dia dah menang, lepas itu tarik balik saman, lepas itu yang kata “dah menang” itu pula yang bayar kos pada pihak yang disaman.
Selepas itu, yang “dah menang” pula kena siasat oleh SPRM. Ini bukan lagi pelik tapi berbelit belit!” ujarnya.

Ahli Parlimen Sepang itu menegaskan PKR merupakan ahli keluarga besar Pakatan Harapan dengan kesemua parti komponen mengamalkan roh demokrasi bukan autokrasi atas nama apa sekalipun.

“Apapun, baguslah parti ‘ehem’ sokong pelantikan mantan pemimpin PKR sebagai orang nombor satu SPRM.

“Mana tahu kegembiraan itu berlanjutan apabila kes siasatan isu RM90 juta berakhir dengan pendakwaan di era orang nombor satu SPRM sekarang,” ujarnya lagi.