Malaysia Dateline

Pemimpin parti merafak takziah kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah

Beberapa pemimpin negara merafak takziah di atas kemangkatan Sultan Pahang kelima, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah.

Almarhum Sultan Ahmad Shah dilaporkan mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi tadi dan berita itu diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini.

“Merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya dalam catatan Twitter miliknya hari ini.

Mohamad Sabu

Presiden AMANAH merangkap Menteri Pertahanan Mohamad Sabu  dalam ciapannya mengucapkan takziah kepada Yang Dipertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana kemangkatan ayahanda baginda.

“Merafak sembah takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan keluarga serta seluruh rakyat Pahang di atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Semoga Allah merahmati dan mengampuni Allahyarham,” ujarnya.

Manakala Presiden Pas Datuk Abdul Hadi Awang dalam kenyataan di laman facebook turut melahirkan dukacita dan ucapan takziah kepada seluruh kerabat DiRaja Pahang.

Abdul Hadi Awang“Merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh keluarga Kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar RI’ayatuddin Al-Muazzam Shah yang telah kembali ke rahmatullah pagi ini.

“Marilah kita mendokan roh Almarhum Paduka Ayahanda SUltan dicucuri rahmat Allah, diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh,” ujarnya Ahli Parlimen Marang itu.

Sultan Pahang kelima, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi tadi.

Khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Pemangku Presiden Umno Datuk Mohamad Hassan  di dalam ciapannya turut  merafak Sembah Takziah Kepada  Sultan Pahang, Kerabat DiRaja Pahang dan seluruh rakyat Negeri Pahang  diatas kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah

Datuk Seri Mohd Najib Razak

Turut merafak takziah  bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang dan rakyat di negeri itu.

“Merafak sembah takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, keluarga, ahli-ahli kerabat diraja dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah, ” tulis Najib di Facebook beliau hari ini.

Datuk Ibrahim Ali

Manakala Presiden Parti Putra Datuk Dr Ibrahim Ali dalam kenyataan hari ini  melahirkan kesedihan dan merafak sembah takziah kepada kerabat Di Raja Negeri Pahang.

Katanya Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, seorang sultan yang amat mesra dan amat dikasihi rakyat.

“Dengan kemangkatan Sultan Ahmad Shah di bulan Ramadan pada pagi hari Nuzul Al-Quran 22 Mei (hari ini) adalah petanda keberkatan kemuliaan buat Almarhum baginda sebagai seorang raja yang berdaulat dan penuh kaseh seorang raja dan rakyat.

“Pemergian Almarhum pasti ditangisi rakyat Pahang dan rakyat Malaysia seluruhnya. Keperihatinan Almarhum dengan masalah rakyat menjadi kenangan serta nostalgia rakyat sepanjang masa,” ujarnya.