Pemimpin Pas akhirnya turut kutuk cubaan rampasan kuasa di Turki

Pemimpin Pas akhirnya turut kutuk cubaan rampasan kuasa di Turki

Selepas cubaan rampasan kuasa di Turki dua hari berlalu, pemimpin Pas baru mengeluarkan kenyataan mengutuknya sehingga menimbulkan tanda banyak pihak apakah Pas menyokong rampasan kuasa yang gagal itu.

Ini ekoran pihak yang pertama membuat kenyataan adalah timbalan ketua pemuda Pas yang juga anak presidennya, Mohamad Khalid Abdul Hadi yang mempertikai rampasan kuasa itu apakah ia satu drama dari presiden Turki, Reccip Toyyib Erdogan.

Hari ini, dua pemimpin Pas membuat kenyataan rasmi menentang percubaan rampasan kuasa itu iaitu Khalil sendiri dan naib presiden, Idris Ahmad.

“Tahniah kepada rakyat Turki bersama dengan pemimpin negara untuk mempertahankan kuasa yang sah.

“Mereka sayang kepada pemimpin yang cakna kepada kehidupan mereka. Mereka yang terlibat mesti dibawa ke pengadilan untuk dihukum dengan setimpalnya,” kata Idris dalam kenyataannya.

Khalil mengeluarkan kenyataan rasmi ekoran serangan terhadap tulisannya dalam facebook itu.

“Pemuda Pas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini yang jelas bercanggah dengan nilai dan prinsip demokrasi serta merampas kebebasan rakyat Turki yang memilih kerajaan dengan telus dalam pilihan raya umum, menimbulkan kekacauan serta ketidakstabilan politik di dalam negara.

“DPPM meletakkan penghargaan kepada rakyat Turki termasuk parti-parti pembangkang yang berdiri teguh dan bersatu hati menggagalkan cubaan rampasan kuasa ini dengan mengetepikan pertikaian sesama mereka demi kepentingan negara,” kata Khalil yang disiarkan Harakahdaily hari ini.

Penyataan awal Khalil dalam facebooknya yang menimbulkan persoalan apakah Presiden Turki sendiri yang membuat drama melalui usaha rampasan kuasa itu telah diserang pelbagai pihak.

Kelambatan kenyataan rasmi pula menyebab Pas didakwa tidak berani membuat pendirian dalam isu ini.

Hazmi Hassan, ketua pemuda Amanah Kelantan.Hazmi Hassan, ketua pemuda Amanah Kelantan dalam kenyataanya ingin tahu apakah sikap Pas dalam isu ini.  

“Aku bukanlah sengaja untuk mengadakan isu. Cuma apabila ada penyokong Pas membuat tuduhan kononnya apa yang berlaku di Turki hanyalah sebuah drama aku mula mencari kenyataan media dari pimpinan Pas.

“Prof Dr Muhammad Redzuan Othman, pakar kajian politik Turki menyebut bahawa “ini merupakan cubaan rampasan kuasa yang terancang apabila berjaya merampas kereta kebal, jet dan sebagainya.” (Astro Awani).

“Macam mana tiba-tiba masih ada penyokong Pas membuat kenyataannya kononnya isu ini seolah-olah ia adalah drama atau lakonan?

“Kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Naib Ketua Pemuda Pemuda Pas Selangor, Abdul Mu’izz Muhammad juga seperti memberi gambaran yang tidak jelas dalam isu ini,” tulis Hazmi dalam satu kenyataannya merujuk kepada kenyataan Khalil dalam facebooknya sebelum ini.

Menurut Hazmi, beliau mula mencari kenyataan media dari pimpinan Pas isu Turki ini untuk menutup mulut para penyokong Pas yang mempertikai sehingga ada yang membuat fitnah terhadap Erdogan.

“Aku bukanlah taksub kepada Erdogan sehingga tidak boleh menerima kritikan terhadap Erdogan.

“Namun di saat seluruh dunia Islam bersatu bergembira selepas kegagalan kudeta masih ada yang berdendam dengan Erdogan,” katanya.

Kata Hazmi,  semua tahu,  Hadi Awang jika ke Turki beliau tidak berjumpa dengan wakil parti Erdogan.

“Namun di saat begini kenyataan beliau diperlukan untuk menutup ruang “kebodohan” ahlinya yang terlalu dangkal.

“Adakah TGHH masih tidak mengiktiraf kepimpinan Recep Tayyib Erdogan dan AK Party?

“Atau  berdendam dan ada masalah dengan Erdogan dan AKP hanya kerana TGHH rapat dengan parti Saadat.

“Adakah PAS menidakkan kebaikan dibawa AKP dalam pemerkasaan Islam di Turki?

“Dan adakah seluruh pimpinan Pas yg lain takut untuk buat kenyataan hanya kerana Presidennya dilihat tidak sebulu dengan Erdogan dan AKP?” soal Hazmi.

Presiden Turki, Reccip Toyyib Erdogan mendakwa, rampasan kuasa yang gagal ini didalangi oleh seorang ulama atau imam yang berpengaruh, Fethullah Gullen yang kini menetap di Amerika.

Ekoran itu, semua tokoh dalam kerajaan Turki yang dikaitkan dengan FETO, badan yang diasaskan Gullen ditangkap termasuk dalam tentera, kehakiman dan juga badan-badan awam yang lain.