Malaysia Dateline

Pemimpin Pas dicucuk hidung benarkan Islam dipimpin

Pada 1 Oktober 2021 ini, Israel buat kali pertamanya berjaya dapat bersama-sama di bumi Arab dengan beberapa Negara Islam “liberal” seperti UAE, Bahrain, Maghribi, Sudan dan juga Malaysia di Expo Dubai 2020.

Negara Palestin yang asalnya menyertai expo tersebut telah menarik diri apabila diketahui Israel akan turut bersama expo terbabit.

Pada zaman Najib Razak menjadi Perdana Menteri, beliau secara senyap-senyap telah membenarkan pegawai kanan negara Zionis Israel menghadiri seminar di Kuala Lumpur, kini di zaman Pas menjadi menteri, begitu bersungguh-sungguh untuk menyertai Expo Dubai ini.

Timbalan Menteri dari Pas, YB Amzad Hashim dari MOSTI telah begitu bersemangat mempromosikan Expo Dubai 2020 ini dengan mendirikan billboard gergasi di Terengganu meminta rakyat Islam menyertai Expo ini yang turut disertai Israel.

Semasa promosi billboard Expo Dubai didirikan di bumi Terengganu Darul Iman, tentera rejim Zionis Israel sedang menembak dan menyerang jemaah Islam pada waktu Subuh dalam Masjidil Al Aqsa di Palestin. Rumah umat Islam Palestin di Sheikh Jarrah sedang dirampas dan diceroboh oleh rejim Israel.

Negara Islam Arab yang lebih “liberal” menyertai Expo Dubai atas alasan perniagaan serantau Timur Tengah tetapi tindakan Malaysia turut menyertai kali ini amat aneh kerana negara kita terletak jauh di benua Asia dan menjadi penyokong tradisi tegar setia Palestin sejak zaman Tunku Abdul Rahman.

Kalau dahulu pasukan kriket Israel ke Kuala Lumpur, Pas membuat demonstrasi jalanan sehingga ramai di tangkap. Barang-barang Israel dan Amerika diminta boikot oleh Pas kerana isu Palestin.

Kami menuntut pandangan Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf Menteri, Datuk Seri Hadi Awang yang juga presiden Pas, tentang pendirian Malaysia dan juga parti Pas.

Beliau baru-baru ini dinyatakan telah berbincang dengan 10 negara Timur Tengah tentang pelaburan Timur Tengah.

Kami juga menuntut pendirian Menteri Agama Malaysia, Idris Ahmad selaku naib Presiden Pas, serta Timbalannya Marzuk Shaary juga dari Pas.

Tidak lupa Timbalan Menteri Sains dan Teknologi, Amzad Hashim yang begitu bersemangat mendirikan billboard raksaksa di bumi Terengganu Darul Iman menggalakkan rakyat ke Expo Dubai.

Nyata hipokrasi terserlah apabila menyeru rakyat boikot barangan Israel dan mengibar beratus ribu bendera menyokong Palestin di Terengganu dan seluruh Malaysia.

Namun, dalam masa yang sama kerajaan mengejar perniagaan bersama dengan Israel yang sedang menembak orang Islam waktu sembahyang Subuh di Masjidil Al Aqsa dan menghalau serta merobohkan rumah orang Palestin di Sheikh Jarrah dan di Baitul Maqadis..

Seperti dinyatakan oleh bekas ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Muhamad dalam isu cabutan judi yang ditambah sekarang, Menteri dan Timbalan Menteri Pas termasuk Duta Khas bertaraf Menteri iaitu Presiden Pas sendiri, mereka mesti bersuara atas prinsip perjuangan Islam memimpin dan bukan hanya berdiam diri dalam kerajaan, membenarkan Islam dipimpin!

Adakah Islam akan memimpin kerajaan atau Pas cukup berpuas hati dicucuk hidung asalkan kekal Menteri dan membenarkan kerajaan PN “memimpin” Islam?

Menteri-menteri Pas, asalkan jadi Menteri begitu megah Malaysia menyertai Expo Dubai bersama konco-konco negara Arab tali barut Amerika Syarikat dan Israel yang telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel.

Walaupun pegawai tertinggi Israel telah masuk negara dan alat perisik rahsia buatan Israel telah dibeli kerajaan Malaysia, sehingga hari ini kerajaan masih membisu berkenaan status diplomatik sebenar kita dengan Israel.

Rakyat di kampung diperalat dan diperbodohkan oleh pemimpin membuat ribuan bendera Palestin untuk di kibar, sementara pemimpin negara mengikut telunjuk tuan besar Israel dan Amerika Syarikat pembunuh rakyat Palestin yang merestui hubungan lumayan duit haram perniagaan dengan Zionis Israel.

Inilah yang dibenarkan berlaku oleh pemimpin Pas dan PN kerajaan Melayu Islam apabila Islam dipimpin oleh mereka.

Bukan Islam memimpin seperti sepatutmya.

*DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH merupakan Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu.