Malaysia Dateline

Pemimpin Pas menyondol, ahli bawahan dicandu dengan agama

Ahli bawahan Pas telah dicandu dan dibius otak mereka dengan agama manakala pemimpinnya pula menjadi golongan oportunis demi habuan duniawi, selar Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Menurutnya, sifat talam dua muka Pas itu ketara ketika ahli bawahan taat, setia, wala’ hingga ke tahap taksub melulu kepada pemimpin parti demi perjuangan agama kononnya.

“Ahli bawahan berkorban apa saja sehingga sanggup jual ayam mengeram demi membiayai pemimpin dan parti mereka yang kononnya berjuang untuk Islam.

“Pemimpin mereka yang atas buat apa? Ya, menjadi golongan oportunis yang menyusup, menghidu dan menjilat di sana-sini mencari nafas politik dan habuan duniawi,” bidasnya.

Ustaz Zolkharnain menyenaraikan pelbagai tindakan pemimpin Pas itu antaranya bekerjasama dengan Umno yang telah mengkhianati Melayu.

“Jumpa Tun (Mahathir) yang dilabel layak jaga klinik sudah dibuat. Peluk Najib (Razak) yang lingkupkan negara sudah dibuat.

“Gadaikan prinsip perjuangan sehingga sanggup bersekongkol dengan MCA yang tolak hudud sudah dibuat. Menyuap Zahid yang terpalit kes seleweng duit yayasan sudah dibuat.

“Sebelum itu, memuji-muja DAP sudah dibuat. Menjulang-julang Anwar Ibrahim sudah dibuat. Kini DAP dan Anwar dimusuhi pula kerana pemimpin parti itu sedang bermadu kasih dengan Umno dan Najib,” hujahnya dipetik dari Facebook beliau.

Untuk rekod, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyatakan Tun Dr Mahathir lebih sesuai berkhidmat di Klinik 1Malaysia berbanding bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Abdul Hadi juga pada Ogos 2018 berkata, partinya sedia bekerjasama dengan MCA dengan alasan parti komponen BN itu tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud tanpa menyerang Pas.

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain menyifatkan banyak isu yang diketengahkan Pas semasa pentadbiran kerajaan PH ‘tenggelam’ ketika Perikatan Nasional (PN) sedang berkuasa pada masa ini.

“Pendek kata, pemimpin parti itu (Pas) akan buat apa saja demi kelangsungan habuan duniawi untuk diri mereka sendiri. Di mana ada peluang, di situ mereka menyondol.

“Ahli bawahan dibius dan dicandu otak dengan aryuyu (RUU355) sehingga sanggup kayuh basikal entah dari mana untuk berhimpun di Padang Merbok.

“Selepas dapat habuan dan jawatan, aryuyu ke mana, hudud ke mana, Adib ke mana…?” tempelaknya lagi.