Malaysia Dateline

Pemimpin Pas-Umno fitnah TH digesa mohon maaf, perbetul tuduhan

Pemimpin Pas dan Umno yang banyak mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai penyusunan semula Tabung Haji (TH) semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini digesa agar segera memohon maaf.

Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas (Parlimen) kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hisham Fauzi berkata, pemimpin dari dua parti itu perlu memperbetulkan kembali salah faham yang timbul akibat siri ‘serangan fitnah’ yang dibuat mereka sebelum ini.

“Ini ekoran keluarnya Jawapan Rasmi Kerajaan sekarang yang mengakui bahawa tindakan penyusunan semula pelaburan TH telah membawa keuntungan kepada TH,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Undang-Undang Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu berkata, sangat banyak tuduhan dan fitnah yang mendakwa sepanjang 22 bulan kerajaan PH memerintah, kononnya TH telah hancur ranap dan segala aset strategik TH telah dijual kepada bukan Islam.

“Ini semua adalah fitnah. Bukan pimpinan Pas dan Umno tidak tahu kerana sebelum ini isu TH ini telah dibangkitkan berkali-kali di Parlimen.

“Berkali-kali pula telah dijawab oleh Datuk Seri Dr. Mujahid Yusoff selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) di Parlimen.

“Boleh periksa dalam hansard Parlimen, semuanya telah dijelaskan berkali-kali oleh menteri sebelum ini. Malangnya, serangan fitnah itu diteruskan tanpa memikirkan dosa,” ujar Hisham.

Beliau berkata, kedudukan terkini aset Lembaga Tabung Haji (TH) pada 30 Jun lalu seperti yang diumumkan dalam laporan prestasi Tabung Haji setengah tahun pertama 2020 adalah berjumlah RM78 billion dengan lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 billion.

Menurut Jawapan Rasmi Kerajaan di Parlimen itu lagi, selaras dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji, aset-aset yang kurang berdaya saing telah dipindahkan kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn. Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Kerajaan juga di dalam jawapan tersebut menafikan bahawa TH sudah dikuasai oleh bukan Islam.

“Semua ini adalah tindakan penuh akauntabiliti yang diambil oleh kerajaan PH bagi memulihkan TH yang mengikut laporan audit Jabatan Audit Negara, aset TH adalah kurang dari liabiliti sebanyak RM4.1 bilion.

“Maknanya aset TH kurang RM4.1 bilion setakat Disember 2017. Sepanjang 2018, banyak perkara berlaku dan jurang pasaran menyebabkan defisit aset berbanding liabiliti TH mencecah RM10 bilion,” jelasnya.

Sehubungan itu, Hisham berkata, tindakan segera yang diambil PH telah berjaya menyelamatkan TH.

“Usaha murni inilah telah diserang teruk oleh pembangkang semasa itu dengan pelbagai tohmahan.

“Alhamdulillah, kini terbukti bahawa segala tuduhan itu adalah fitnah dan tidak benar,” tambah Hisham lagi.