Malaysia Dateline

Pemimpin Pas yang kawal LGM Properties

Siapakah di belakang LGM Properties Corporation Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan segala harta Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang mendapat perhatian baru-baru ini ekoran berita angin yang mengatakan banyak tanahnya telah dijual dengan harga yang rendah dari harga pasaran.

(Gambar atas… Abdul Arifahmi, Ismi dan Nurul Islam, 3 pemimpin Pas yang kini mengawal LGM Properties)

Menurut carian yang dibuat, pengerusinya adalah Ustaz Ismi Mat Taib, AJK Dewan Ulamak Pas Pusat manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah Abdul Arifahmi Ab Rahman, menantu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut menganggotai Lembaga Pengarah LGM Properties adalah Nurul Islam Mohamed Yusoff, tokoh yang dianggap paling banyak mendapat jawatan dalam kerajaan selepas Pas bersama membentuk kerajaan Perikatan Nasional dan ketika Pas menang di Terengganu.

Muhammad Ismi dan Nurul Islam juga adalah ahli Lembaga Pengarah badan induk LGM Properties iaitu Lembaga Getah Malaysia (LGM) dimana pengerusinya adalah Datuk Ahmad Nazlan Idris, ahli Parlimen Jerantut dari Umno.

Nazlan dikatakan akan ditamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi LGM tidak lama lagi.

Nurul Islam, bekas calon Pas di Ampang juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif di Majlis Getah Malaysia atau Malaysia Rubber Council yang menjadi agensi yang memasarkan getah ke seluruh dunia. Sebelum PRU-14, Nurul Islam bertugas di Pos Malaysia.

LGM adalah badan yang terletak di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di mana menterinya adalah Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Dua hari lepas, Pengurusan Lembaga Getah Malaysia (LGM) menafikan dakwaan berlaku penyelewengan dalam urusan jual beli serta urusan pajakan dua lot tanah miliknya di Jalan Ampang, yang diuruskan oleh LGM Properties seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataannya, LGM menegaskan bahawa belum ada sebarang urusan penjualan, pajakan atau urus niaga berkaitan dua lot tanah milik LGM iaitu Lot 20012 dan Lot 20013 (masing-masing nombor lama dikenali sebagai Lot 75 dan Lot 76) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Semua penjualan atau pajakan tanah milik LGM, menurut kenyataan itu lagi, perlu mendapat perakuan Lembaga dahulu sebelum dimajukan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk kelulusan.

Sebelum ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Disember, 6 Januari dan 11 Mac yang didakwa berkait dengan tanah dimiliki LGM dan turut membabitkan penglibatan Khairuddin.

Dalam pendedahan itu, Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation dengan harga RM0.70 satu kaki berbanding harga pasaran RM2.50 untuk tempoh 15+10 tahun dengan kenaikan kadar pajakan 10% setiap lima tahun.

Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 satu kaki sedangkan harga pasaran adalah sekitar RM1,400 satu kaki.

Menurut seorang aktivis di Facebook, Ahmad Kailani Muhammad, beliau telah membuat carian tentang syarikat Eurowhite Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat yang membuat proposal untuk membeli tanah Lembaga Getah Malaysia.

“Setakat ini belum jumpa apa-apa maklumat, website syarikat pun tak ada dan tidak dapat dipastikan apakah main activities syarikat ini.

“Sebaliknya yang jumpa ialah Euromawar Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berdasarkan blog pro UMNO banyak tahun lepas adalah sebuah syarikat dari 39 buah syarikat yang diberikan projek Ladang Rakyat seluas 600 hektar di Kelantan,” katanya.