Malaysia Dateline

Pemimpin patut tunjuk teladan baik, kata bekas Menteri Kesihatan

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan seorang pemimpin sepatutnya menunjukkan teladan yang baik.

Katanya, pemulangan gaji Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bermula Mei hingga bulan ini untuk disumbangkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) bukan isunya.

“Jangan cuba provok dengan pulang gaji empat bulan, ini bukan isunya.

“Soalnya adalah maruah seorang menteri dengan sengaja langgar SOP (Prosedur Operasi Standard) KKM (Kementerian Kesihatan) untuk Covid-19.

“Pemimpin kalau tak mula patuh (SOP) jangan harap rakyat akan patuh kerana melihat pemimpin dengan senang lepas (dari undang-undang),” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap Khairuddin juga bersifat berat sebelah ketika rakyat biasa dikenakan hukuman lebih berat.

“Jika di New Zealand, menteri sudah letak jawatan. Dan ini sudah jadi perhatian rakyat, bukan di PH (saja).

“Dan rakyat rasa berat sebelah menteri hanya kena (denda) RM1,000,” kata Pengarah Strategi AMANAH itu lagi.