Malaysia Dateline

Pemimpin pembangkang boleh masuk sekolah, kata Adly

Melaka tidak bersetuju dengan tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mewajibkan ahli politik pembangkang mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan sebelum memasuki sekolah kerajaan.

Ketua Menteri, Adly Zahari, sebaliknya berpendapat kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini, tidak harus mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan Barisan Nasional (BN) apabila menyekat sebarang usaha parti politik memasuki sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sebenarnya sekolah tak perlu ada garis politik, kerana ia sendiri ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), melainkan kalau ada laporan mahupun pandangan yang tidak sejajar dengan pandangan kerajaan.

“Asasnya, kita tidak mahu sekolah dijadikan tempat untuk menghalang mana-mana ahli politik. Konsepnya mudah, sekolah mahupun universiti harus terbuka bagi pelbagai jemputan program, forum mahupun diskusi,” katanya seperti dilapor NSTP semalam.

Pada Isnin ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Maszlee berkata Ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Katanya, pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, tidak bersetuju dengan tindakan Dr Maszlee kerana langkah itu katanya sama saja dengan tindakan kerajaan terdahulu yang mengharamkan pihak pembangkang daripada memasuki sekolah dan institusi pengajian lain.

Mengulas lanjut, Adly berkata, kerajaan PH Melaka tidak berhasrat menyekat mana-mana pemimpin pembangkang daripada hadir ke sebarang program dianjurkan sekolah mahupun IPT di negeri ini.

“Kita tidak mahu (amal) begitu. Sebab, berdasarkan pengalaman kita jadi pembangkang dulu, memang kita sendiri dihalang. Malah, saya sendiri ada pengalaman ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu apabila dihalang berkempen di hadapan sekolah.

“Jangan ia berlaku di Melaka. Biar kita mendidik pelajar tanpa ada sifat kebencian dalam soal berpolitik,” katanya.

Beliau berkata, halangan kepada pemimpin pembangkang memasuki sekolah hanya mewujudkan diskriminasi sekali gus memberi persepsi tidak baik kepada masa depan pelajar.

“Usah kita lakukan, contohnya bapa pelajar dihalang masuk ke sekolah hanya kerana beliau pemimpin politik pembangkang, sedangkan bapa pelajar lain pula dibenarkan. Ini (contoh) pendidikan yang tidak baik,” katanya.