Malaysia Dateline

Pemimpin pembangkang perlu lebih kerap duduk semeja, kata Syed Saddiq

Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan parti-parti pembangkang harus lebih kerap berbincang.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, paling penting adalah semua tindakan dan keputusan pembangkang harus mengutamakan rakyat.

“Pemimpin pembangkang perlu terus duduk semeja dan mengadakan pertemuan dengan lebih kerap. Komunikasi, perbincangan dan pertemuan kerap adalah kritikal.

“Apa yang paling penting, semua tindakan dan keputusan pembangkang harus mengutamakan rakyat,” katanya melalui Twitter.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian mengulas gesaan Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh agar Pakatan Harapan (PH) memperkasa serta mengekalkan sokongan diperoleh dari keseluruhan jentera pembangkang.

Kelmarin, Pakatan Harapan (PH) digesa untuk segera membuat jemputan rasmi kepada lima parti pembangkang sesuai dengan usaha menjayakan kerangka ‘Khemah Besar’.

Selain Hannah, kenyataan bersama Senator Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah itu menegaskan PH harus berbuat demikian memandangkan jumlah 105 sokongan yang dimiliki oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak mencukupi.

Lima parti terbabit ialah Parti Warisan (Warisan), Muda, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Untuk rekod, Warisan diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempunyai lapan kerusi Dewan Rakyat manakala Pejuang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki empat kerusi.

Sementara itu, PSB mempunyai dua kerusi Parlimen manakala masing-masing satu kerusi milik Muda dan UPKO.