Pemimpin Pemuda Amanah dipenjara, wajib turun himpunan Tangkap MO1

Pemimpin Pemuda Amanah dipenjara, wajib turun himpunan Tangkap MO1

Tindakan untuk membanjiri Dataran Merdeka sempena himpunan Tangkap Malaysian Official 1, Sabtu ini bukan lagi pilihan bahkan satu kewajipan, tegas Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Menurutnya, hukuman penjara lapan bulan ke atas Naib Ketua Pemuda Amanah, Fakhrulrazi Mokhtar menjelang dua hari demonstrasi #TangkapMO1 itu telah menjulang tekad seluruh rakyat bersatu-padu melawan kleptokrasi.

“Pada ketika ‘Malaysian Official 1’masih lepas bebas, aktivis muda pula dipenjara dan ini sangat mengecewakan anggota dan pendokong Amanah keseluruhannya.

“Keputusan ini sekaligus menggambarkan perjuangan membetulkan kembali sendi-sendi penting negara, termasuk kehakiman dan perundangan masih merupakan perjuangan yang panjang dan berliku,” ujarnya  dalam satu kenyataan semalam.

Walaupun berdepan risiko pemenjaraan atas setiap bantahan dan tuntutan reformasi keseluruhan institusi, tambahnya, tekanan tersebut sama sekali tidak akan melemahkan semangat apatah lagi mematikan roh dan derapan langkah perubahan.

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menjatuhi hukuman penjara lapan bulan ke atas Fakhrulrazi selepas didapati bersalah atas kesalahan menghasut menentang kerajaan pemerintah dan boleh menjurus rusuhan awam.

Tuduhan itu berdasarkan ucapan Fakhrulrazi ketika himpunan #KitaLawan pada 21 Mac lalu mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.

Bagaimanapun, hakim Shamsudin Abdullah membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut tetapi menaikkan jumlah jaminan daripada RM1,000 kepada RM5,000.

TAGS