Malaysia Dateline

Pemimpin PH boleh berunding dengan pihak lawan

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membenarkan semua pemimpin gabungan itu untuk berbincang dengan pihak lawan dalam menghadapi kemelut politik negara sekarang.

Namun, jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan itu, tiga pemimpin teratas PH perlu berunding sesama mereka sebelum berbuat demikian.

“Kecuali tiga pemimpin tertinggi daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH), ramai ahli parlimen dan pemimpin daripada ketiga-tiga parti dalam PH mengadakan perbincangan sendiri dengan pemimpin lawan.

“Bagaimanapun, perbincangan sedemikian tertakluk kepada persetujuan daripada kepemimpinan parti masing-masing dan Majlis Presiden PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab laporan media yang dianggap anti-DAP dan dikatakan cuba memutar belitkan perbincangan antara Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan Ong Kian Ming dengan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam masa sama, Guan Eng berkata, PH bersama dengan dengan blok pembangkang yang terdiri daripada 105 Ahli Parlimen menggunakan pendekatan ‘khemah besar’ untuk menuntut kembali mandat sebagai kerajaan yang dipilih mengikut perlembagaan oleh rakyat.

Beliau berkata, bermula dengan 105 Ahli Parlimen Pembangkang sebagai asas, Ahli Parlimen PH Plus dapat menuntut kembali mandat Pilihan Raya Umum pada 2018 daripada parti yang ditolak oleh rakyat.

“Kedua-dua (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan (Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Shafie Apdal memikul tanggungjawab untuk bekerjasama bagi mengembalikan mandat rakyat.

“Perlu ada alternatif yang jelas terhadap Kerajaan PN yang gagal, yang menyebabkan rekod tertinggi jangkitan dan kematian serta kegagalan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan,” katanya.

Beliau turut menegaskan tindakan mengekalkan kerajaan PN yang gagal bukanlah jalan keluar untuk masalah yang dihadapi oleh negara kerana masalah sebenar adalah seluruh kerajaan PN itu sendiri.