Malaysia Dateline

Pemimpin PH perlu contohi pendekatan, ketegasan Khairy Jamaluddin

Menjadi seorang pemimpin, atau ketua kepada satu kumpulan orang, antara sifat yang perlu ada adalah, ketegasan dalam memuktamadkan satu satu keputusan.

Benar, Malaysia sebuah negara demokrasi dimana suara rakyat itu harus diraikan, dalam konteks parti politik, suara ahli perlu didengari.

Namun, dalam soal berbuat keputusan, ia memerlukan seorang yang berperwatakan seorang pemimpin untuk memberi kesan yang baik.

Suara bawahan, akar umbi atau rakyat tidak mewakili kebenaran, ia adalah suara yang boleh jadi betul, dan boleh jadi salah.

Bukanlah bermaksud semua suara bawah perlu ditolak, namun dalam beberapa perkara kritikal yang memerlukan keputusan dibuat dengan berpandukan sains dan fakta, seharusnya dapatan tersebut perlu lebih diutamakan.

Khairy Jamaluddin, telah mengambil tindakan tidak popular dalam soal vaksin dan dos penggalak.

Pemimpin PH perlu contohi pendekatan, ketegasan Khairy Jamaluddin.
Khairy dan Dr Noor Hisham Abdullah bersama pasukan pembedahan Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.

Walaupun beliau mendapat kritikan dan tohmahan, bahkan disebut sebagai agen Dajal, namun beliau meletakkan sains di depan dalam membuat keputusan untuk mewajibkan vaksin, dan dos penggalak kepada rakyat.

Beliau berada di satu tempat yang tahu perkara, yang sebahagian kumpulan tidak ketahui. Khairy tidak tunduk kepada desakan untuk “berlaku adil” kepada orang yang enggan menerima vaksin.

Nah, lihat kesannya. Sektor ekonomi dan sosial boleh dibuka kembali tanpa berlaku kesan di mana berlaku jangkitan yang mengakibatkan kematian kepada ramai orang.

Lihat negara yang meletakkan “suara rakyat” di depan dalam soal ini dan membelakangi sains, angka kematian melonjak dan akhirnya terpaksa mula kembali untuk pemulihan.

Begitu juga dalam soal membuat keputusan sebagai seorang pemimpin parti politik, ia harus didasari dengan “fact and figure”, bukan sentimen, bukan emosi dan bukan semata-mata kehendak ahli akar umbi.

Banyak proses membuat keputusan, tidak didasari dengan dapatan kajian oleh institusi berwibawa, keputusan dibuat antaranya berdasarkan kehendak akar umbi.

Maka lihatlah berlaku ketidaksepakatan dalam soal logo parti, soal kerjasama khemah besar, semua perkara ini telah menjadi faktor kekalahan dan kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk kembali meraih mandat rakyat.

Dalam soal mengemudi sebuah parti politik, nyata ahli itu penting. Oleh sebab itu, pimpinan perlu giat untuk bertindak memahamkan ahli pada setiap tindakan dibuat parti.

Sikap yang sama terhadap diri pemimpin sendiri, mereka tidak wajar membuat keputusan berdasarkan emosi dan “kajian” mereka sendiri.

Keputusan harus dibuat dengan didasari fakta dan angka. Misalnya, sewaktu PRN Melaka, AMANAH dan PKR bertindak mengambil ‘calon katak’ sebagai calon PH dengan mendakwa ia strategi kemenangan, walhal Bersih telah pun menyebut ia akan menjadi faktor penolak terhadap PH.

PRU-15 bakal berlangsung tidak lama lagi, dengan tekanan yang kuat dari parti, Ismail Sabri tidak mampu bertahan lebih lama.

Pimpinan perlu merangka kepada satu strategi kemenangan, cubalah untuk meminta pandangan dan dapatan pakar, Ilham Centre, bahkan Invoke sendiri dalam merangka strategi kemenangan kerana kegagalan berbuat demikian akan dibayar sebagaimana di Melaka dan Johor.

Kekalahan ini tidak sebagaimana kekalahan terdahulu. Kekalahan ini akan juga dibayar dengan mungkin bebasnya kluster mahkamah yang bertindak menyamun harta negara tanpa hukuman setimpal.

*MUAMMAR QADDAFI NASIR merupakan Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/husam-dedah-kerajaan-negeri-bagi-tanah-kepada-individu-sama-di-kelantan/