Malaysia Dateline

“Pemimpin pintu belakang didahulukan rakyat dibelakangkan”

Perubahan Kerajaan Malaysia melalui pintu belakang baru-baru ini membawa banyak kesan negatif besar kepada rakyat. Islam menuntut umatnya memasuki rumah melalui pintu hadapan secara beradab menghormati Tuan punya rumah.

Perubahan kerajaan baru-baru ini melihat Umno- Pas dan Tan Sri Muhyiddin bukan hanya memasuki rumah rakyat melalui pintu belakang, tetapi salam pun tidak diberi kerana memasuki rumah secara senyap-senyap.

Pas yang mendakwa sebuah parti Islam, telah melakukan pengkhianatan yang sama yang telah di lakukan kepada kerajaan Pas Perak apabila Umno-BN merampas negeri tersebut tanpa pilihan raya. Hari ini apa yang Pas kata dahulunya haram mereka pula melakukannya bersama rakan rampasan kuasa Perak dahulu.

Kalau dahulu Pas kata mereka hendak membimbing Umno cara Islam, nampak gaya realiti hari ini Umnolah mengajar Pas bagaimana nak rampas kerajaan melalui pintu belakang. Umno memimpin, Pas mengikutnya hari ini.

Sudah seminggu Tan Sri Muhyiddin dilantik Perdana Menteri tetapi Kabinet masih tidak wujud walaupun Malaysia dan dunia menghadapi wabak virus Covid -19 yang berbahaya.

Bukan hanya yang tiada masih belum dibentuk, tetapi yang ada seperti MPKK pula digantung tidak dibenarkan berfungsi dan anggotanya pun dihentikan di saat ramai tidak mempunyai pekerjaan.

Bukan sahaja rakyat yang sedang keliru dan bingung dengan rampasan kuasa pintu belakang tetapi keadaan bertambah parah apabila struktur organisasi masyarakat di peringkat akar umbi pula digantung tanpa sebab.

Di negara lain organisasi peringkat akar umbi ditingkatkan dan dimantapkan lagi bagi menghadapi ancaman virus Covid -19 tetapi di Malaysia atas sebab politik pintu belakang kita mengambil langkah ke belakang. Negara maju Jepun, Amerika dan Korea Selatan pun bermasalah menghadapi virus tersebut, tetapi Malaysia bertindak sebaliknya dengan langkah tidak bertanggung jawab dan angkuh demi politik rakus.

Hari ini Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong menyatakan kebimbangan Baginda tentang 28 kes baru Covid-19 dan meminta orang ramai memberi kerjasama kepada Kementrian Kesihatan menangani dan menyiasat kes Covid-19. Baginda Tuanku telah menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.

Malangnya selepas begitu lama Perdana Mentri masih belum boleh melantik Menteri Kesihatan dan juga Kabinet. Amat menyedihkan Tan Sri Muhyiddin tidak menunjuk keprihatinan yang sama keselamatan rakyat seperti Tuanku Agong kerana terlalu asyik dengan perebutan jawatan politik dalam Perikatan Nasional.

Ramai yang meminta bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad di lantik sebagai Menteri Kesihatan interim kerana beliau telah menjalankan tugas yang baik sebelum ini menangani isu virus Covid-19 tetapi kerajaan masih membisu. Walaupun seorang pegawai Khazanah kerajaan telah dijangkiti virus tersebut dan kelihatan bergaul bebas dalam kalangan pegawai lain tiada arahan kuarantin atau pengasingan diarahkan.

Malaysia kini kelihatan tidak ada pemimpin nasional yang boleh mengemudi negara dengan tiadanya lagi kabinet dan persidangan Parlimen di tangguh lagi dua bulan sementara orang Muhyiddin, Umno dan Pas sedang berebut jawatan.

Negeri Melaka, Perak dan Kedah masih bergolak dengan penyamun ingin merampas kuasa melalui pintu belakang dan rakyat merasa resah.

Inilah akibatnya rampasan kuasa pintu belakang oleh mereka melalui usaha sama penyamun serta perompak yang mendahului nafsu kuasa dan kekayaan dengan berpuluh kes-kes rasuah seperti Datuk Najib, Zahid Hamidi dan Tengku Adnan yang mana mahkamah diberitahu mempunyai aset sebanyak hampir satu billion. Diri mereka di dahulukan dan kebajikan rakyat dibelakangkan.

Bagi mereka yang makin keliru dengan pergerakan serta penghijrahan ahli politik dari satu parti kepada parti lain dalam usaha sedang merebut kuasa, saya ingin menyeru mereka bersabar dan memilih parti yang stabil dengan pimpinan berprinsip teguh.

Alhamdullilah sehingga kini AMANAH yang bersama Pakatan Harapan kelihatan paling stabil dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan kami.

Kami mengalu-alukan mereka yang ingin bersama AMANAH berjuang di atas dasar Rahmatan Lil Alamin untuk semua.

Tiada berkat rampasan kuasa melalui pintu belakang dan kelemahannya makin jelas kelihatan dengan kegagalan membentuk Kabinet kerana perebutan jawatan, melambatkan sidang Parlimen, menggantung perjalanan MPKK di kampung dan desa dan kelemahan menangani wabak virus Covid 19.

Kerajaan Muhyiddin patut mengambil berat dan mencotohi keprihatinan tulen Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Tuanku Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga keselamatan rakyat menangani ancaman serius Covid-19 di Malaysia. Rakyat Malaysia menyanjung tinggi keprihatinan Tuanku Agong.

Rakyat Malaysia ingin melihat kerajaan berfungsi dengan baik dan prihatin menghadapi isu-isu kritikal Negara dan kurang mementingkan politik dalaman sesama sendiri. Laksanakanlah tanggungjawab sebaiknya untuk rakyat dengan kuasa yang telah di perolehi. Malangnya di bawah Kerajaan Perikatan Nasional pemimpin pintu belakang didahulukan, rakyat dibelakangkan.

 

Beliau adalah Pengerusi AMANAH Terengganu