Malaysia Dateline

Pemimpin PKR mengaku tertipu, dikhianati Azmin Ali

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu beberapa pemimpin yang dikatakan menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan sekutunya tertipu dan dikhianati.

Menurutnya, mereka yang sebelum ini tertipu dengan permainan Azmin yang mengisytiharkan keluar parti bersama 10 Ahli Parlimen PKR, 24 Februari lalu tidak akan dikenakan tindakan pecat daripada parti.

“Tak, tak.. mereka ini tidak keluar dari parti. Saya terima baik (penjelasan), mereka masih taat.

“Dalam mesyuarat tadi, mereka kata kami sokong tapi tak pernah dengar ada pakatan dengan Pas, Umno atau nak khianat kepada parti, jadi tak boleh salahkan penyokong.

“Mereka suarakan sendiri mereka rasa tertipu dengan permainan beberapa pemimpin, jadi saya perlu redakan untuk kuatkan parti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama 39 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di ibu pejabat PKR di sini, semalam.