Pemimpin politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) harus lebih ikhlas tanpa bersikap prejudis terhadap bangsa dan agama bagi memastikan keharmonian rakyat di negara ini, Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal India Muslim AMANAH Nasional, Noorul Hassan Saul Hameed.
Beliau berkata, peranan pemimpin politik dan NGO penting bukan menyalahkan satu sama lain dalam menangani isu rakyat, kerana ia boleh mengugat keharmonian kaum di negara ini.
“Kita jangan bermain api dalam beberapa isu membabitkan agama, bahasa dan kaum di negara ini. Ini kerana tidak ada mana-mana kaum yang tidak sayang kepada kaumnya dan kepercayaan kepada agama yang dianuti mereka.
“Tetapi sebagai sebuah negara yang dibangunkan bersama sejak kemerdekaan, politiking dalam hal bahasa, agama dan kaum seharusnya lebih dibincangkan secara tertutup antara pemimpin politik dan NGO.
“Jika ia tidak dibendung boleh membawa kepada terhakisnya keharmonian kaum dan agama di negara ini,” ujarnya dalam wawancara dengan Malaysia Dateline.
Kata beliau lagi, peranan pemimpin politik dan NGO perlu ada persefahaman dalam menangani isu membabitkan kaum di negara ini.
“Rakyat kita mudah dipesongkan oleh pemikiran politik dan gerakan NGO supaya golongan tertentu mengikuti kehendak mereka.
“Selain terdapat anasir luar yang mempengaruhi rakyat negara ini dengan tujuan tersirat untuk mengikis keharmonian kaum yang dibina atas acuan sendiri sejak negara mencapai kemerdekaan.
“Bukanlah bermakna saya menuding jari kepada satu kaum sebaliknya untuk Malaysia semua pihak perlu ada kesungguhan untuk mengekalkan keharmonian negara ini.

“Semua pihak harus melihat dari aspek pemahaman rakyat terhadap sesuatu isu sangat penting.
“Orang bukan Islam berfikiran belajar tulisan jawi dan khat itu akhirnya akan mendorong mereka masuk Islam. Dalam hal ini mereka perlu kepada pemahaman sejarah tulisan jawi.
“Sebaliknya orang Islam pula kurang memahami agama orang lain untuk memahami pantang larang mereka. Ini kerana orang Islam merasakan tidak perlu mengetahui budaya sesuatu masyarakat menjadi punca kepada ketidaksefahaman dikalangan kaum yang menganuti pelbagai agama di negara ini,” ujarnya.
Subjek sejarah wajib lulus
Noorul Hassan yang mendapat pendidikan di SJK Tamil dan bekas guru yang pernah mengajar Bahasa Malaysia selama 8 tahun berkata, amat penting subjek Sejarah diwajibkan lulus oleh Kementerian Pendidikan.
Tanpa pengetahuan sejarah generasi muda lupa akan asal usul mereka dalam menangani sesuatu isu mengenai agama dan kaum di negara ini.
“Jika rakyat tidak mahu diperkotak-katikkan oleh pemimpin politik atau NGO amat penting semua rakyat kembali mendalami sejarah tanahair.
“Kontrak sosial misalnya telah wujud dengan bersyarat antara semua kaum di awal pembinaan negara.
“Orang Melayu sedia berkorban kepentingan dan hak mereka untuk kaum Cina dan India yang dibawa masuk oleh Inggeris ke Tanah Melayu.
“Orang Melayu sanggup berkongsi kuasa politik, ekonomi dan sosial tetapi apakah pengorbanan kaum lain untuk memastikan orang Melayu tidak terpinggir, kuasa mereka tidak dipertikai, hak keistimewaan orang Melayu tidak dituntut, hak raja Melayu dikekalkan dan Islam sebagai agama rasmi negara tidak diperjudikan?
“Tetapi setelah 62 tahun merdeka perkara itu sentiasa diperdebatkan ada pihak menuntut kesamarataan yang mutlak, sedangkan ia tidak akan berlaku.
“Negara yang majoriti diduduki satu bangsa sekalipun tidak menjamin seratus peratus hak kesamarataan. Begitu juga di negara maju masih ada golongan miskin dikalangan golongan kaya.
“Saya berpendapat adalah menjadi tanggungjawab majoriti menjaga hak minoriti. Inilah timbal balik daripada Kontrak Sosial yang perlu kita semua fahami bersama, bukan mempertikaikannya untuk menuntut hak kesamarataan,” ujarnya.
Beliau diminta pandangan mengenai polemik pelaksanaan tulisan khat di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) oleh Kementerian Pendidikan dan isu penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik.

Dr Zakir Naik mangsa keadaan
Ditanya mengenai polemik ceramah Dr Zakir Naik di Kelantan yang mengundang pertikaian apabila pendakwah antarabangsa yang mendapat pemastautin tetap di negara ini, didakwa telah menyentuh mengenai kesetiaan kaum India dan Cina ke atas negara ini.
Noorul Hassan yang juga Presiden Penaja Gerakan India Muslim Malaysia berkata, kerajaan di bawah Malaysia Baharu ini perlu memastikan ideologi anasir luar harus dibendung dari dalam agartidak mengeruhkan lagi keharmonian kaum di negara ini kerana kepentingan pihak tertentu.
“Dr Zakir menjadi mangsa keadaan kerana dari awal beliau datang ke negara ini sebagai penceramah perbandingan agama dan di luar negara, tiada siapa yang membantah kehadirannya di sini.
“Kini ada pihak yang berpendapat populariti beliau telah meningkat dan merasakan beliau telah mengancam sesuatu agama dan kaum di negara ini, kerana bercakap soal perbandingan agama tidak mustahil ada pihak yang cuba memerangkap Dr Zakir.
“Beliau pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah tidak ada siapapun membantah, tetapi kenapa hari ini hingga mendesak beliau diusir?
“Kedudukan sekarang ini biarkan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan siasatan polis tentukan dakwaan ke atas Dr Zakir di negara ini kerana tidak ada sesiapa yang boleh melangkaui undang-undang negara,” ujarnya.
Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.
Khamis lepas polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.