Malaysia Dateline

Pemimpin politik, polis pakai ‘tag’ kalis virus

Tular di media sosial foto beberapa pemimpin politik memakai tag di leher mereka yang dikatakan mampu menghapuskan kuman termasuk virus dalam jarak satu meter.

Mereka dilihat memakai tag serupa berwarna putih berharga RM59.90 yang difahamkan tahan selama 45 hari.

Pada produk dinamakan Antah Wellness itu, maklumat tertera memberitahu mampu melindungi pemakai daripada penyakit bawaan udara atau airborne.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden Umno dilihat mengenakan tag itu.

Turut memakai tag perlindungan itu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin dilihat memakai tag anti virus yang dikatakan tahan selama 45 hari.

Foto isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga memperlihatkan beliau mengenakan tag anti kuman itu.

Walau bagaimanapun, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berdekatan dengannya dilihat tidak pula memakai alat perlindungan tersebut.

Selain ahli politik, anggota polis yang bertugas juga dilihat mengenakan tag penghapus virus itu.

Walau bagaimanapun, individu yang bukan berada di barisan hadapan dianggap membazir memakai tag tersebut memandangkan pandemik Covid-19 bukan tersebar melalui udara.

Virus Covid-19 disebarkan melalui titisan cecair atau droplet yang terhasil daripada percikan air liur yang tidak akan berterbangan bagi jarak lebih satu meter.

Sehubungan itu, pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berada di rumah serta mencuci tangan dengan sabun selama 20 saat dilihat cukup membantu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Hanya Hasmah, Mahathir dilihat tidak pula memakai tag anti-virus.
Bahan ini dikatakan dijual di farmasi dengan harga RM59.90.