Malaysia Dateline

Datuk Drr Wan Salim Wan Mohd Nor

Pemimpin politik seharusnya jujur, tidak khianati mandat rakyat, kata Mufti P.Pinang

Pemimpin politik terutamanya yang beragama Islam diingatkan supaya sentiasa berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam corak politik Machiavelli yang hanya mementingkan matlamat merebut kuasa pemerintahan dengan apa jua cara walaupun melanggar batas-batas agama dan moral, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, pemimpin politik tidak kira daripada mana-mana parti perlu jujur terhadap rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka untuk mengendalikan urusan pemerintahan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lalu.

“Biarlah kerajaan yang dipilih rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga ke PRU yang akan datang, selepas itu nanti bersainglah secara sihat untuk menukar kerajaan menerusi saluran demokrasi seperti yang diamalkan sejak merdeka lagi,” ujarnya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, sebagai mufti tugas utama beliau ialah memberi pandangan hukum mengenai isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam, serta menasihati umat Islam supaya mematuhi hukum-hukum tersebut.

Tambah beliau lagi, perbuatan menukar kerajaan melalui pintu belakang bukan sahaja tidak selaras dengan sistem demokrasi, bahkan boleh disifatkan sebagai mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat.

“Dalam Al Quran, Surah Al-Anfal, ayat 27, Allah s.w.t melarang keras umat Islam daripada mengkhianati amanah yang diserahkan kepada mereka yang sepatutnya dipikul ddengan jujur dan ikhlas,” saran beliau.

“Memelihara amanah adalah salah satu sifat asasi seorang mukmin yang beruntung di sisi Allah sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Mu’minun,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyeru para pemimpin politik supaya senatiasa menghormati garis panduan berpolitik yang digariskan dalam agama Islam dan menjaga adab serta etikanya.

“Takutlah kepada Allah yang Maha Mengetahui isi hati makhluknya dan ingatlah kepada hari akhirat nanti dimana masing-masing kita akan berhadapan dengan pengadilan Ilahi.

“Pengadilan ini akan menentukan kesudahan nasib seseorang samada mendapat nikmat syurga yang abadi. Ataupun ia akan tersiksa di dalam neraka, ” ujarnya lagi.