Pemimpin pusat, negeri Johor bertemu MB

Pemimpin pusat, negeri Johor bertemu MB

Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor mengadakan pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal pada Isnin.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, pertemuan yang berlansung di kediaman Menteri Besar Johor itu,telah membincangkan pelbagai perkara berhubung peranan wakil rakyat di peringkat negeri dan persekutuan untuk meneruskan khidmat cemerlang di Negeri Johor.

“Beberapa cadangan yang bernas daripada Adun untuk memperbaiki mutu penyampian perkhidmatan kepada rakyat termasuk penyampaian inisiatif-inisiatif peduli rakyat telah mendapat perhatian MB Johor dan Exco Kerajaan Negeri Johor.

“Beberapa perkara yang berkaitan dengan peranan kerajaan pusat juga telah mendapat perhatian saya dan YB Datuk Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga merupakan Adun  Simpang Jeram,” ujar Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam satu kenyataan dimuat naik di laman faceebook hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perjumpaan seperti ini amat penting untuk memperkukuh muafakat wakil rakyat Pakatan Harapan negeri Johor dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, bekas Menteri Besar dan Adun Kempas Datuk Osman Sapian dan barisan exco kerajaan negeri.

Pada PRU14 lalu PH memenangi 39 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor mengalahkan lawan BN dan Pas hanya memperoleh 32 kerusi Dun.