Malaysia Dateline

Pemimpin Sarawak digesa patuhi SOP Covid-19

Semua pemimpin dari Sarawak termasuk Parti Gabungan Sarawak (GPS) dan Menteri Perikatan Nasional (PN) yang kembali ke negeri ini digesa supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan dikuarantin wajib 14 hari seperti sama yang ditetapkan kepada rakyat.

Justeru, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menganggap perkara itu amat membimbangkan berikutan pendedahan beberapa pemimpin dan menteri kerajaan yang tidak mematuhi SOP serta gagal melakukan kuarantin wajib baru-baru ini.

“Sekiranya terdapat pemimpin yang melanggar prosedur SOP kuarantin Covid-19 sekembalinya ke negeri ini akan dilihat sebagai sikap yang pentingkan diri sendiri dan meletakkan nyawa orang awam dalam bahaya.

“Ia juga seolah-olah pemimpin ini kebal daripada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” ujar kenyataan PKR Sarawak yang dikeluarkan di Kuching, malam tadi.

Pada masa sama, PKR Sarawak turut mengingatkan pemimpin GPS dan Menteri PN menghentikan sikap bertemu dengan orang ramai tanpa mematuhi SOP Covid-19 kerana ia meletakkan nyawa orang awam dalam bahaya.

“Kami mengingatkan pemimpin GPS untuk mempraktikan kesedaran sivik dan patuhi peraturan kuarantin khususnya pemimpin yang menghadiri mesyuarat di Putrajaya.

“Kenyataan ini dibuat setelah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewajibkan semua warganegara Malaysia yang masuk ke Sarawak menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan.

“Malah, kami juga menggesa tindakan diambil kepada mana-mana pemimpin yang melanggar SOP dan gagal menjalani kuarantin,” tegas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, sikap ‘double standard’ harus dihentikan dengan segera dan pemimpin perlu patuh kepada peraturan dan memberikan contoh yang baik kepada rakyat di samping menjamin kesejahteraan kesihatan rakyat tempatan di negeri ini.