Malaysia Dateline

Pemimpin sayap bukan Islam Pas letak semua jawatan

Bekas Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), S Barathidasan meletakkan semua jawatan yang disandang dalam sayap bukan Islam itu.

Sebelum ini, dia berada dalam urus setia DHPP Pusat, Ketua DHPP Wilayah Persekutuan dan Pengarah Pilihan raya DHPP Pusat.

Barathidasan juga melepaskan jawatan dalam Pas sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Pusat serta AJK BAKIP yang berkuat kuasa pada 31 Disember lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati masalah dan isu yang berterusan dalam Pas sehingga gagal membawa suara rakyat khususnya masyarakat kaum India.

“Dewan harian DHPP Pas Pusat telah mengadakan mesyuarat pada 21 Februari dan menerima keputusan saya untuk melepaskan semua jawatan.

“Malah saya juga melepaskan keahlian dalam DHPP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DHPP dijenamakan pada tahun 2010 mulanya dikenali sebagai Kelab Penyokong Pas yang ditubuhkan pada 2004.

Pas meluluskan perlembagaan khusus bagi DHPP sebagai sayap baharu parti itu sewaktu Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berjawatan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas.

Menurut Barathidasan, surat peletakan jawatannya telah disampaikan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua DHPP Pusat, N Balasubramaniam pada 30 Disember lalu.

Dalam masa sama katanya, hala tuju masa depan karier politiknya akan ditentukan dalam masa yang terdekat.

“Perjuangan saya demi rakyat dan negara belum selesai lagi, saya akan terus berkhidmat dan menyuarakan rintihan rakyat,” tambah Barathidasan lagi.