Fenomena “negara tanpa pemimpin” jikalau dikupas selanjutnya, ada kaitan dengan kecenderungan masyarakat kita terhadap “pemimpin tanpa kontroversi”.
Perlu diingatkan, bahawa “pemimpin tanpa kontroversi” yang dibincangkan dalam tulisan ini bukan merujuk kepada pemimpin yang tidak terpalit dengan skandal rasuah, atau terheret dengan kes mahkamah, tetapi dalam konteks perebutan kuasa dan pertembungan idea.
Sering kali apabila pergolakan politik menyaksikan pertembungan sengit antara dua kabilah, akan ada cadangan agar “pemimpin tanpa kontroversi” diketengahkan sebagai jalan keluar untuk merungkaikan kekusutan sedia ada.
“Pemimpin tanpa kontroversi” dalam konteks ini bermakna pemimpin yang bebas daripada kepentingan partisan, atau dilihat tidak mengancam kepentingan politik pesaing-pesaing yang lain.
Persoalannya, politik adalah perebutan kuasa. Apabila seorang politikus dinaikkan untuk memegang kuasa, pada masa yang sama ia bermakna seorang politikus yang lain kehilangan kuasa.
Dalam konteks ini, apakah “pemimpin tanpa kontroversi” benar wujud? Lebih menarik, konsep “pemimpin tanpa kontroversi” dalam konteks pertembungan idea.
Misalnya, Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sering dianggap sebagai “pemimpin yang kontroversi”. Setuju atau tidak, kita mengetahui pendirian dan sikap kedua-dua tokoh ini dalam isu-isu seperti kaum, agama, ekonomi, demokrasi, antarabangsa dan sebagainya. Mereka berpegang kepada fahaman politik masing-masing, yang menyebabkan mereka disukai dan dibenci.
Maka apabila kita menyaksikan pertembungan dua pemimpin dengan fahaman politik yang berbeza, akan ada cadangan bahawa kita memilih “pemimpin tanpa kontroversi”, yang bermaksud seorang politikus tanpa pendirian yang jelas.
Namun, kita hanya boleh bersetuju atau tidak bersetuju setelah kita jelas apakah pendirian seseorang itu. Jikalau pendiriannya kabur, atau tiada pendirian, maka kita tidak boleh berbuat apa-apa. Rupa-rupanya, itu cara mereka mengurangkan “golongan yang tidak bersetuju dengannya”, lantas dirinya menjadi “tidak kontroversi”.
Saya tidak melihat bahawa kecenderungan terhadap “pemimpin tanpa kontroversi” ini sebagai pilihan yang tepat.
Saya cukup sedar bahawa politik itu seni untuk berkompromi, namun seseorang pemimpin politik harus jelas dengan pendirian yang dipegangnya, sebelum dirinya berganjak. Bahaya jikalau pemimpin politik itu tidak memiliki pendirian, dan sekadar berayun dibuai angin.
Mahiaddin Md Yassin misalnya, kekal kabur pendiriannya sehingga hari ini. Beliau pernah mengaku dirinya “Umno totok”, memberi gambaran bahawa dirinya sebati dengan ideologi Umno.
Setelah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, dilucutkan jawatan Timbalan Presiden Umno dan disingkirkan dari Umno, Mahiaddin menubuhkan PPBM, dan kemudian menyertai Pakatan Harapan (PH).
Beliau bertanding atas nama PH, dengan logo PKR dan bermanifestokan Buku Harapan, yang jelas bertentangan dengan sesetengah dasar Umno. Sentimen masyarakat ketika PRU-14 hangat untuk menolak kleptokrat. Mahiaddin dilambung semula ke dalam kerajaan Persekutuan dengan gelombang kebangkitan rakyat.
Mahiaddin diamanatkan untuk menerajui Kementerian Dalam Negeri, tetapi beliau nampaknya tidak berminat dengan dasar-dasar yang disepakati dalam Buku Harapan.
Tiada satu pun akta drakonian di bawah kementeriannya sempat dimansuhkan. Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak sempat ditubuhkan. Langkah reformasi cukup perlahan.
Keadaan ini memerangkap PH dalam kebuntuan. Reformis yang tidak berpuas hati, menuntut langkah pembaharuan dipercepatkan, sementara sekelompok masyarakat pula resah dengan pembaharuan yang bakal dilaksanakan.
Mahiaddin tidak mempertahankan Buku Harapan. Beliau tunduk kepada gelombang sentimen yang dihasut. Beliau membawa PPBM keluar dari PH, dan menubuhkan Perikatan Nasional bersama Pas dan Umno.
Seterusnya, beliau bergelut dalam PN, malah bertembung dengan Umno. Apabila didesak kleptokrat sehingga ke hujung tanduk, tiba-tiba Mahiaddin teringat dasar reformasi Buku Harapan yang belum selesai. Lantas beliau cuba bergayut dengan beberapa janjinya yang berpautkan tawaran agenda reformasi…
Kronologi ini diimbas bukan untuk menyindir bahawa tawaran Mahiaddin sekadar untuk melanjutkan talian hayat politiknya, sungguhpun hakikatnya memang itu motif di sebaliknya.
Apa yang ingin ditekankan adalah, apabila seseorang politikus tidak memiliki idea atau fahaman politik yang tersendiri, bagaimana beliau mengetengahkan, jauh lagi mempertahankan agenda yang ingin dibawa untuk rakyat dan negaranya?
Beliau akan melakukan pusingan-U demi pusingan-U, kerana tidak yakin, dan tunduk kepada tekanan apabila dipertikai.
Kelemahan sedemikian cuba dihalalkan atas nama “mendengar suara rakyat”, namun kelompok rakyat yang berlainan memiliki suara yang berbeza, bergantung kepada kedudukannya dalam masyarakat.
Misalnya, apabila sekatan pergerakan dilaksanakan, sudah tentu golongan kais pagi makan pagi menuntut agar ia dilonggarkan, sementara golongan menengah atas akan menuntut ia diperketatkan seketat-ketatnya. Kerajaan perlu memberi kata dua untuk memilih hanya satu.
Namun, apabila kerajaan tunduk kepada kedua-duanya, maka ia berakhir sebagaimana apa yang berlaku sekarang, dikunci separuh dan dilonggar separuh – tanpa penghujung tempohnya.
Sektor yang dikunci terus lemas, dan separuh yang longgar akan terus melonjakkan angka kes baharu. Tragedi ini berlaku kerana kita tidak memiliki pemimpin yang berani membuat keputusan dan mempertahankan keputusannya.
Mereka sudah cuak jikalau media sosialnya dilambak dengan emoji “marah”, apatah lagi untuk menjawab pertikaian masyarakat?
Bersekongkol
Berbalik kepada Mahiaddin, andainya beliau seorang pemimpin, beliau akan memilih antara reformasi tuntas untuk merombak sistem negara, atau bersekongkol dengan kleptokrat untuk mempertahankan regim Melayu-Muslim yang korup.
Andainya beliau memilih reformasi, maka beliau harus mengolah restu masyarakat Melayu, sungguhpun terpaksa menongkah arus. Andainya beliau memilih kleptokrat, akur sahaja bahawa negara akan terus diporak-perandakan.
Malangnya, Mahiaddin bukan pemimpin, beliau bergoyang ke kiri kanan apabila ditiup angin. Kita tidak tahu pendiriannya, barangkali dirinya pun tidak ada jawapannya.
Demikianlah kehebatan “pemimpin tanpa kontroversi”. Moga-moga kita mengambil iktibar daripadanya.