Malaysia Dateline

Pemimpin taubat rakyat selamat!

Pemimpin taubat rakyat selamat! Di sebalik kita puasa makan minum, puasa nafsu syahwat, puasa pancaindera, tidak keterlaluan jika dikatakan pemimpin dan ahli politik harus juga puasa politik.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah sejauh manakah berlakunya pengasahan batin politik pada bulan Ramadan yang mulia atau adakah mereka pernah merenunginya? Mengasah hati, jiwa, keyakinan di samping menajamkan fikiran, kesedaran, dan tindakan yang lebih diarahkan ke dalam diri iaitu melihat ke dalam merupakan renungan, introspeksi, iluminasi, pembetulan diri, permurnian diri dan peningkatan kualiti diri terhadap tindakan-tindakan politik yang kita lakukan. Pernahkah ahli politik memikirkan semua ini?

Bagi ahli politik bulan ramadan boleh digunakan sebagai bulan renungan dan permurnian diri. Sejauh mana kepolitikan mereka khusus dalam keputusan yang diambil tidak membeban, menganiayai dan menzalimi rakyat? Adakah segala tindak tanduk mereka semasa pilihan raya negeri umpamanya bersandar dan bermotifkan hanya untuk Allah swt dan kepentingan rakyat dan tidak berhajat kepada kepentingan-kepentingan diri dan kelompok lain yang tersurat dan tersirat?

Jika mereka merenungi perkara ini dengan berpuasa politik, mereka dapat mengelak daripada fitnah, rasuah dan mainan politik kotor dalam bulan ramadan ini dengan meminta ampun kepada Allah dan jika terdapat keputusan-keputusan yang lakukan menzalimi dan menyusahkan rakyat, maka sebaiknya mereka bertaubat.

Pemimpin bertaubat rakyat selamat! Malah terdapat kalangan ahli politik yang mengerjakan umrah pada bulan yang mulia ini. Semoga doa mereka dengan bertaubat di hadapan Kaabah akan membawa keberkatan kepada negara dan rakyat.

Dalam hubungan ini semoga segala doa kesejahteraan dan bertaubat akan merealiti pada bulan pasca Ramadan, bulan Syawal diraikan sebagai bulan kemenangan menjauhkan diri daripada politik nafsu untuk kembali ke fitrah ilahi, segala keinsafan daripada perbuatan politik jahat yang dilakukan 11 bulan lepas sebelum Ramadan menjadi kenyataan pada bulan Shawal ini dan bulan-bulan seterusnya.

Pemimpin taubat rakyat selamat!
Bagi ahli politik bulan ramadan boleh digunakan sebagai bulan renungan dan permurnian diri

Lailatul Qadar dapat dinilai apabila seseorang yang menghayati dan merealiti apa yang mereka jauhi dan menahan diri daripada melakukanya bulan Ramadan dan terus mengamalkan pada bulan selepasnya. Itulah Lailatul Qadar sebenar.

Jangan sekadar berhenti daripada memain politik, bersifat tawaduk pada bulan puasa sebagai menghormati bulan yang mulia ini tetapi sebaik sahaja takbir raya berkumandang ahli politik kembali kepada tabiat asal dengan strategi politik membolot kuasa dan melakukan rasuah politik dengan penuh nafsu syahwat, maka ini bermakna ia bagaikan mencurah air di daun keladi. Puasa tida menbawa keinsafan kepada ahli politik. Bolehlah kita lihat tabiat pemimpin dan pengikutnya selepas Ramadan ini.

Pembatinan politik atau melihat ke dalam adalah mekanisme merenungi diri agar yang zahir tidak muncul sebagai penampakan luar. Pembatinan puasa politik adalah perenungan diri dalam menahan segala dorongan riya, bangga, khianat, dusta, dengki, sombong, angkuh, loba, dan tamak.

Renungan adalah “urusan dalaman”, sedangkan gaya dan tanda adalah “urusan luar”. Hakikatnya puasa politik adalah memaksimunkan urusan dalam dan meminimalkan urusan luar, eksplorasi habis-habisan tanda batin atau tanda-tanda ketuhanan dan mengendali tanda zahir yang berbentuk kebendaan, tidak melakukan rasuahm khainat, tikam dari belakang dan seumpamnya.

Dalam hal ini harus memperbanyak renungan, serta mengurangi penampilan diri dengan gaya kehidupan politik komersial yang dipenuhi kezahiran yang memanipulasi rakyat.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

Baca juga: ‘Siap ada katak, baik punya sindir’, orang ramai teruja lihat lukisan dibeli Sultan Selangor