Malaysia Dateline

Pemimpin tidak perlu “wajib taat kepada Allah”?

Infografik berkenaan ‘Negara Berkebajikan’ yang dikongsikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam ini dilihat mengundang banyak persoalan.

Antaranya, bagi paparan “Negara Berkebajikan berdasarkan ketetapan Allah” yang dibahagi kepada pemimpin dan rakyat ‘hanya’ rakyat dihubungkan dengan “wajib taat kepada Allah”.

Dalam masa sama, rakyat juga perlu “taat kepada pemimpin” dengan “bersyarat” iaitu “selagi mana pemimpin itu mematuhi perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.”

Berbanding penguasa, mengikut kacamata Pas, pemimpin hanya “wajib menunaikan amanah” dan “wajib melaksanakan konsep adil.”

Selain itu, di bawah perkara ‘Islam menentang kezaliman’, Pas menolak tiga jenis kuasa antaranya “teokrasi yang bertuhankan agamawan”.

Negara Berkebajikan acuan Pas juga tidak membenarkan “kuasa mutlak berbentuk dictatorship yang bertuhankan individu atau kumpulan”.

Ironinya, kedua-dua aspek tersebut dilihat terpalit pada parti yang bersekongkol dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu sendiri termasuk menggantung sidang Parlimen.

Akhirnya, infografik tertera “beri peluang kepada Pas dan Perikatan Nasional” yang “menjanjikan sebuah Negara Berkebajikan” dan “berteraskan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).”

Hal tersebut juga dilihat mengundang persoalan memandangkan Pas pada masa ini telah “diberi peluang” berada dalam kerajaan tebuk atap PN.

Bahkan, rayuan agar kemenangan diberi kepada PN sekali gus menampakkan Pas sudah memungkiri semangat Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama Umno pada 14 September 2019.

Hal ini memandangkan, Umno telah muktamad pada PRU15 menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu yang mengepalai PN.

Untuk rekod, Pas pada PRU-14 bertanding di 158 kawasan Parlimen tetapi sekadar menang 18 kerusi Dewan Rakyat sahaja.