Malaysia Dateline

Pemimpin Tunisia, Rashed ucap tahniah pada HARAPAN selepas muncul unggul pada PRU15

Pemimpin Tunisia, Sheikh Rashed Ghannouchi mengutus perutusan tahniah kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana muncul unggul dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rashed yang juga Presiden parti Ennahda iaitu parti politik Islam di Tunisia berkata, beliau yakin kejayaan Anwar dalam pilihan raya yang sengit ini membuktikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap polisi-polisi HARAPAN.

Dalam surat yang dikongsi Anwar di Facebook, Rashed juga menyatakan rasa gembira dengan kejayaan dicapai Anwar.

“Sahabat saya Cheikh Rached Ghannouchi mewakili Parti Ennahdha Tunisia kirim tahniah kepada Pakatan Harapan kerana muncul unggul pada PRU15 yang lalu.

“Beliau turut mendoakan buat kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia,” tulis Anwar di Facebook.

Surat tersebut diutus pada 21 November lalu dengan tanda tangan Rashed di bawah surat.

“Kemenangan anda dalam pilihan raya yang dipertandingkan dengan sengit ini adalah penunjuk yang jelas tentang kepercayaan dan sokongan besar yang rakyat Malaysia berikan kepada dasar PH.

“Kami, dari parti Ennahdha, amat berbesar hati dengan kemenangan yang layak ini, yang kami anggap sebagai kemuncak usaha anda, visi yang jelas dan komitmen untuk memodenkan Malaysia.

“Kami juga memanfaatkan peluang ini untuk memperbaharui komitmen kami untuk mengeratkan hubungan dan mengukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua pihak,” kata Rashed dalam surat.

Presiden parti Islam itu juga mendoakan Anwar dan semua ahli gabungan PH berjaya dalam tugas demi kebaikan rakyat Malaysia yang bersaudara.