Malaysia Dateline

Pemimpin Umno BN kritik PN satu muslihat politik, kata Athirah

Kritikan beberapa pemimpin Umno BN yang juga merupakan bekas menteri tetapi tidak terpilih sebagai menteri terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan sikap makan keliling, cuci tangan dan muslihat politik, demikian menurut Ketua AWAN Nasional Aiman Athirah Al Jundi.

Justeru, katanya rakyat perlu berhati-hati dengan normal politik era PN ini.

“Puji pemimpin Umno yang tidak jadi Menteri kerana kononnya berani mengkritik pentadbiran PN, sedangkan pada masa yang sama dia sendiri merestui orang dia dan partinya, bahkan dirinya sendiri telah mengangkat kerajaan tersebut sekaligus merampas mandat rakyat dalam PRU14 serta tidak mahu mengambil tanggungjawab bersama apabila ada kelemahan.

“Pada saya hakikatnya kita sendiri sedang kena ‘game’ yang sangat teruk oleh geng-geng 5P ini (5P:Perompak, Penyamun, Penunggang, Pengkhianat dan Penipu),” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, politik normal baharu era PN ini jelas digerakkan oleh elit-elit politikus rakus kuasa sehingga ahli-ahli biasa di bawah daripada kalangan parti mereka sendiri pening dengan permainan elit kuasa ini.

Athirah berkata demikian merujuk kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan tindakan kerajaan PN yang melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tindakan itu akan mengundang risiko bagi perkhidmatan kesihatan dan barisan hadapan.

“Perlahan dan stabil. Sektor mengikut sektor. Secara beransur-ansur. Tidak perlu terburu-buru. Jangan lakukan semuanya sekaligus kerana sukar dikawal,” kata Najib.

Jelas Athirah, apa yang dikatakan Najib Razak pada kali ini betul dan perlu dipuji.

“Selepas membaca posting tersebut, pada saya itu pandangan dan cadangan yang biasa sahaja yang kebanyakan kita pun mahu ianya diuruskan dan berlaku begitu.

“Apa yang jelas sehingga ke hari ini adalah mereka masih berserabut, sama sepertimana penguatkuasaan undang-undang yang berbeza berkaitan kesalahan PKP yang sama di antara rakyat dan VVIP yang gagal dijawab oleh Menteri Kanan, DS Ismail Sabri.

“Harus diingat, sebahagian besar parti yang membentuk kerajaan PN sekarang adalah Umno BN iaitu parti DS Najib Razak sendiri,” katanya.

Sebagaimana mereka tahu buat “kerajaan pintu belakang”, bagi Athirah mereka juga mesti tahu bagaimana hendak memastikan ia adalah sebuah kerajaan yang berkesan dan bertanggungjawab.

“Alasan Umno Pas hanya membantu menyelamatkan negara itu boleh simpan jadi hujah pembodohan kalangan ahli mereka sendiri sahaja!

“Silap mata yang sedang dilakukan Umno sekarang iaitu mahu menjadi kerajaan tetapi pada masa yang sama sering dilihat bersikap “cuci tangan” apabila berlaku kelemahan, adalah satu tindakan penuh beragenda halus,” ujar beliau.