Malaysia Dateline

Pemimpin Umno dakwa kenyataan ‘gendang perang’ Guan Eng sangat cauvinis, rasis

Pemimpin Umno membidas kenyataan dibuat Menteri Kewangan Lim Guan Eng susulan secara rasmi Umno dan Pas mengikat perjanjian untuk meneruskan kerjasama politik sebagai terlaluy cauvinis dan berbaur perkauman (rasis).

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan, kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai kerjasama rasmi antara Umno dan Pas sebagai ‘perang’ terhadap orang bukan Melayu dan Islam, sebagai sesuatu yang sangat cauvinis dan rasis.

Reezal Merican berkata, pemikiran Menteri Kewangan yang menganggap penyatuan orang Melayu sebagai ‘gendang perang’ itu, merosakkan keharmonian kaum di negara ini.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

“Pandangan dangkal dan bahaya seperti Guan Eng ini ibarat menolak semangat Perlembagaan Persekutuan dan asas kepada perpaduan negara.

“Pemikirannya juga cukup bahaya kepada negara kerana beliau menolak sama sekali kesatuan orang Melayu sebagai ‘tiang seri’ keharmonian negara.

“Inilah ‘penyakit’ dan ‘kudis’ kepada Malaysia Baharu. Kita boleh nampak jelas punca kudis politik degil dan jahat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas turut mempersoalkan sejak bila perpaduan orang Melayu mahu ‘memerangi’ kaum lain?

“Bukankah keharmonian Malaysia selama ini, sedikit sebanyak berteraskan kepada perpaduan orang Melayu yang menjadi majoriti di negara ini?,” soalnya lagi.

Reezal turut menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP itu tidak menggambarkan dirinya seorang pemimpin, kerana sarat dengan niat tersirat untuk menggalakkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

“Kita juga faham, lebih celupar dan cauvinis, maka lebih ‘hero’lah seseorang itu di mata ‘komrad’ mereka.

“Beliau (Guan Eng) perlu lebih hati-hati dengan kenyataan yang dibuat. Jangan terlalu celupar. Jangan hidup dalam dunia politik sempit dan terlalu cauvinis,” tegasnya.

Datuk Dr Noraini Ahmad

Dalam perkembangan sama, Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad menyifatkan kenyataan biadap Guan Eng itu menunjukkan betapa ‘cetek’ nya pemikiran Setiausaha Agung DAP itu mengenai makna demokrasi.

Noraini yang Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, sebagai menteri dan pemimpin negara, perkara berkaitan isu perkauman tidak wajar dibangkitkan Guan Eng.

“Dalam isu ini, Wanita Umno  mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat Guan Eng di bawah Akta Hasutan.

“Sepatutnya ruang demokrasi di negara ini pada pasca pilihan raya umum disegarkan dengan pelbagai kerjasama politik, dan bukannya disempitkan dengan kenyataan membangkitkan kebencian,” tegasnya.

Pada Selasa Umno dan Pas secara rasmi mengumumkan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti bagi tujuan penyatuan ummah.

Kerjasama itu merupakan satu ikatan yang menyatukan ummah tanpa meminggirkan keseluruhan masyarakat termasuk kaum Cina dan India.

Sebaliknya Guan Eng dalam kenyataan mendakwa kerjasama Umno-Pas sebagai satu ‘isyarat perang’ terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu di Malaysia.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Bagi Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kenyataan dangkal ini amat merbahaya kerana boleh mencetuskan suasana tegang antara kaum dan mampu merangsang perlakuan tidak wajar di kalangan rakyat Malaysia berbilang agama dan kaum.

Sedangkan tegas beliau kerjasama antara UMNO dan PAS sebagaimana yang ditegaskan oleh kedua-dua kepimpinan tertinggi parti hanyalah menjurus kepada aspek penyatuan ummah yang tidak sesekali meminggirkan mahupun meremehkan mana-mana agama mahupun kaum di negara ini.

“Sesungguhnya kenyataan Lim Guan Eng ini hanya menyerlahkan lagi wajah sebenar pemimpin dan parti DAP yang sememangnya sejak dahulu lagi lebih cenderung kepada sifat rasis dan chauvinis.

“Malah kenyataan seperti ini jika tidak dikekang mampu mencetuskan pergolakan antara agama dan kaum sebagaimana pernah berlaku dalam Tragedi 13 Mei 1969”, katanya dalam satu kenyataan .