KM Melaka jangan cuba perbodohkan Melayu, tegas Amanah negeri

KM Melaka jangan cuba perbodohkan Melayu, tegas Amanah negeri

Pemimpin Umno di peringkat negeri dan nasional dilihat hanya terus membangkitkan isu dangkal bagi mengalih tumpuan rakyat daripada skandal kewangan yang mendapat perhatian dunia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tegas Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Melaka.

 Pengerusinya, Adly Zahari berkata, isu yang harus dijawab oleh pimpinan Umno ialah berkaitan segala dakwaan pihak Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat membabitkan penyelewengan dana lebih USD3.5 bilion dana 1MDB.

“Mereka juga perlu mendesak agar ketiga-tiga nama yang telah disebutkan oleh DoJ seperti Riza Aziz, Jho Low dan Khadem Al Qubaisi dikesan serta ditahan untuk siasatan lanjut,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Mengulas tuduhan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron kononnya pendedahan DoJ itu adalah sebahagian daripada helah politik untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan orang Melayu, beliau membidas, usah terus memperbodohkan Melayu.

“Apakah yang ditakutkan negara AS terhadap orang Melayu di Malaysia hingga Idris Haron membuat tanggapan AS mempunyai modus operandi yang sama ketika mahu menceroboh masuk Iraq?

“Apakah ini sebenarnya taktik lapok Ketua Menteri dan rakan-rakan untuk terus memperbodohkan rakyat terutama Melayu beragama Islam yang cukup sensitif apabila menyentuh isu agama dan bangsa?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

MO1 begitu jelas

Menurut Adly, jenayah pengubahan wang haram di sebalik skandal 1MDB tidak lagi boleh disembunyikan ketika ciri-ciri mengenai individu yang dipanggil sebagai ‘Malaysian Ofiicial 1’ (MO1) begitu jelas walaupun tidak disebut namanya secara khusus.

“Jika benar mahu menyelamatkan Melayu, Idris Haron harus membantu untuk membongkar skandal besar ini dan bukannya terus mengalih isu dengan harapan rakyat akan terus percaya pada helah pemerintah yang ada,” bidasnya lagi.

Terdahulu, Idris mendakwa tuduhan AS terhadap 1MDB adalah konspirasi hampir sama seperti tuduhan terhadap negara Iraq pada tahun 2003 serta dakwaan bahawa presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

Beliau dalam ucapan perasmian Mesyuarat Sayap Umno Bahagian Ampang, Selangor, 7 0gos lalu itu juga berkata, pencerobohan AS tersebut tidak mustahil berlaku kepada Malaysia serta mengajak masyarakat bangkit kononnya AS iri hati kepada polisi yang dibawa Najib Razak.

Sehubungan itu, ujar Adly, Amanah Melaka mendesak Idris bersama anggota dalam kabinet kerajaan persekutuan untuk menumpukan perhatian kepada MO1.

Pada masa sama, tambahnya lagi, mereka terbabit juga perlu mengenal pasti individu dikenali sebagai B1 seperti disebut dalam laporan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

COMMENTS

Wordpress (0)