Pemimpin Umno Kedah buat tindakan gelojoh, kata Exco Kedah

Pemimpin Umno Kedah buat tindakan gelojoh, kata Exco Kedah

Selepas ketua wanita, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Datuk Suraya Yaacob pula menafikan majoriti kepimpinan Umno di Kedah menolak Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Selepas ketua wanita, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Datuk Suraya Yaacob pula menafikan majoriti kepimpinan Umno di Kedah menolak Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, menyifatkan ‘serangan’ dibuat terhadap Mukhriz melalui sidang media khas semalam, sebagai suatu tindakan yang gelojoh dilakukan pemimpin tertentu, lapor Berita Harian Online.

Katanya, beliau tidak menerima sebarang jemputan bagi sidang media penolakan Mukhriz itu, malah sama sekali tidak akan menyokong perbuatan seumpama itu.

Mukriz dikerumun penyokong semalam selepas ditolak Umno Kedah.“Tak boleh kata seluruh kepimpinan Umno (Kedah) tolak Menteri Besar… kalau seluruh kepimpinan maknanya Ketua Umno cawangan pun termasuk sekali…itu hanya melambangkan mereka yang berada di situ.

“Saya tidak dijemput dan tak akan sokong sebab itu bukan cara dalam Umno…tak menjangka ia akan jadi sebegitu drastik, ” katanya ketika ditemui di Istana Anak Bukit, di sini.

Sementara itu, seorang lagi Exco Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain, yang hadir pada sidang media semalam pula, mengakui ragu-ragu sama ada kaedah dilakukan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan pemimpin Umno lain itu betul atau tidak.

Tajul Urus berkata, beliau tidak dimaklumkan lebih awal mengenai inti pati sidang media itu dan hanya mengetahuinya sebaik hadir di Hotel Grand Alora, selepas diminta hadir.

“Ia menjadi pertanyaan pada saya sama ada ini kaedah yang betul…soal pucuk pimpinan dah tak boleh (diterima) adalah biasa, namun kaedah dia tu…saya tiba di sidang media itu dan bertanya pelbagai soalan, namun akhirnya saya akur di situ sahaja.

“Sekiranya ditanya saya pada peringkat awal, mungkin saya bagi pandangan lain, ” katanya sebagaimana dilapor BH Online.

EXCO Kedah, Datuk Amunuddin Omar, berkata beliau turut tidak mendapat jemputan bagi menghadiri sidang media itu.

Beliau yang menyokong penuh kepimpinan Mukhriz berkata, tindakan sidang media itu dibuat secara dasarnya seolah-olah tidak menghormati Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, iaitu Menteri Besar dilantik atas perkenan Sultan Kedah.

Sebelum ini, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Maznah Hamid mendedahkan beliau tidak tahu menahu tujuan sidang media Umno Kedah semalam untuk mengumumkan hilang keyakinan mereka kepada menteri besar Datuk Seri Mukhris Mahathir, lapor Sinar Harian.

Mendedahkan perkara itu, katanya, sebelum sidang media itu, mereka (kepimpinan Umno Kedah dan bahagian) telah dipanggil untuk menghadiri satu taklimat tertutup bersama kepimpinan.

“Selaku ketua sayap negeri dan bahagian, saya hadir untuk mengetahui perkembangan parti terutamanya di Kedah.

“Sebaik sampai langsung tiada mesyuarat atau taklimat, sebaliknya saya dan beberapa pemimpin lain diminta ke barisan depan untuk menyertai sidang media, sedangkan kami tak tahu apa sebenarnya dan tujuan sidang media diadakan,” katanya.

TAGS